Sri Lanka berdepan bahaya besar, kata presiden


Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe (kiri) tiba di Parlimen untuk merasmikan persidangan Parlimen di Colombo, Sri Lanka, 03 Ogos 2022. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2022.

PRESIDEN Sri Lanka Ranil Wickremesinghe memberi amaran yang negara itu berdepan bahaya besar selepas kekurangan bahan api akibat krisis ekonomi yang tidak pernah terjadi sebelum ini akan berterusan sehingga akhir tahun.

Pemimpin berusia 73 tahun itu berkata berkata kemerosotan kewangan telah bertukar menjadi krisis politik yang serius.

Wickremesinghe baru dilantik sebagai presiden bulan lepas apabila pendahulunya Gotabaya Rajapaksa melarikan diri sebelum meletak jawatan selepas berbulan-bulan rakyat membuat bantahan.

“Hari ini kita hadapi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang tidak pernah dihadapi oleh dalam sejarah negara kita,” katanya semasa merasmikan sidang Parlimen.

“Kita berada dalam bahaya besar.”

Bulan lepas puluhan ribu rakyat menyerbu kediaman rasmi Rajapaksa kerana kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang dialami oleh 22 juta penduduk Sri Lanka sejak akhir tahun lepas.

Wickremesinghe berkata satu-satunya cara untuk selamat daripada krisis adalah “jika kita semua hadapi cabaran ini bersama-sama sebagai satu rakyat,” meminta semua parti di Parlimen menyertai inisiatif “kerajaan perpaduan” yang dicadangkannya.

Sri Lanka dianggap sebagai negara berpendapatan sederhana yang makmur sebelum ingkar buat kali pertama pada hutang asingnya sebanyak AS$51 bilion pada pertengahan April.

Negara itu telah kehabisan pertukaran asing untuk membiayai import dengan pegawai menganggarkan negara memerlukan sekurang-kurangnya AS$4 bilion dengan segera bagi membawa masuk barangan keperluan dan menangani kekurangan semasa.

Wickremesinghe telah mengetuai perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan program bailout selama empat tahun. Beliau memberitahu Parlimen rundingan sedang berjalan tetapi tidak memberikan garis masa bila perjanjian akan dimuktamadkan.

Pemandu kenderaan menghabiskan masa berhari-hari menunggu untuk membeli bahan api catuan sementara negara menghadapi pemadaman elektrik yang berpanjangan. Inflasi telah melepasi 60 peratus.

Wickremesinghe berterima kasih kepada India kerana memberikan saluran kredit untuk mengimport petrol dan diesel, tetapi berkata Colombo mesti mampu membayar dengan pendapatan pertukaran asingnya sendiri dan catuan itu akan diteruskan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

Beliau juga mengkritik Rajapaksa kerana menolak dua pelaburan infrastruktur utama dari Jepun yang boleh membawa masuk AS$3 bilion.

Pembatalan transit aliran ringan (LRT) dan terminal laut dalam di pelabuhan Colombo turut merosakkan hubungan antara Jepun dan Sri Lanka, kata Wickremesinghe.

Bagaimanapun, Wickremesinghe yang pro-Barat tidak merujuk kepada China yang memiliki lebih 10 peratus pinjaman dua hala Sri Lanka. Perjanjian Beijing adalah penting untuk sebarang perjanjian penstrukturan semula hutang. – AFP, 3 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen