Bekas presiden Mexico disiasat berhubung pengubahan wang haram 


Bekas presiden Mexico Enrique Pena Nieto disiasat untuk beberapa jenayah termasuk pengubahan wang haram. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2022.

PEJABAT Peguam Negara Mexico pada Selasa berkata pihaknya sedang menyiasat bekas presiden Enrique Pena Nieto untuk beberapa jenayah termasuk pengubahan wang haram.

Pengumuman itu dibuat hampir sebulan selepas Unit Perisikan Kewangan kementerian kewangan mendedahkan bahawa Pena Nieto sedang menghadapi siasatan berhubung pemindahan wang antarabangsa lebih satu juta dolar.

Bekas presiden itu, yang memegang jawatan dari 2012-2018 dan kini menetap di Madrid, telah menafikan sebarang salah laku.

Beberapa dakwaan melibatkan syarikat pembinaan Sepanyol OHL, kata Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan, tanpa memberikan butiran lanjut.

“Kemajuan dalam siasatan ini akan membolehkan pendakwaan dibuat dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Ketua Unit Perisikan Kewangan Pablo Gomez, memberitahu pemberita pada Julai bahawa Pena Nieto telah menerima sekitar 26 juta peso (AS$1.25 juta) yang dihantar oleh seorang saudara di Mexico.

Pergerakan itu telah mendapat perhatian kerana ia adalah pemindahan tunai dan asal usul dana itu tidak diketahui, katanya.

Pena Nieto juga dipercayai mempunyai hubungan dengan dua syarikat yang memenangi kontrak lumayan dengan negara Mexico sepanjang tempoh perkhidmatannya, tambah Gomez.

Pena Nieto menerusi Twitter berkata beliau “pasti bahawa saya akan dibenarkan untuk menjelaskan kepada pihak berkuasa yang berwibawa apa-apa soalan mengenai aset saya dan menunjukkan kesahihannya.”

Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador, populis berhaluan kiri yang menggantikan Pena Nieto pada 2018, telah berulang kali mengecam dakwaan rasuah di bawah pendahulunya.

Satu referendum yang diperjuangkan Lopez Obrador tahun lalu mengenai sama ada bekas presiden patut didakwa gagal mendapat undian yang cukup untuk pelaksanaannya.  – AFP, 3 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen