Pelosi ingkar amaran China, tiba di Taiwan


Nancy Pelosi tiba di Taiwan dengan pesawat tentera Amerika Syarikat (AS), sekali gus menunjukkan AS tidak mengendahkan amaran dan ancaman keras China yang tidak membenarkan pegawai AS berprofil tinggi itu melawat Taipei. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2022.

SPEAKER Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi tiba di Taiwan pada petang Selasa, menentang siri amaran dan ancaman yang semakin tegas daripada China sehingga menyebabkan ketegangan antara dua kuasa besar dunia.

Pelosi, yang berada di barisan kedua selepas jawatan presiden, merupakan pegawai AS terpilih berprofil tertinggi untuk melawat Taiwan dalam tempoh 25 tahun.

Beijing telah menjelaskan ia menganggap kehadiran itu sebagai provokasi besar, menyebabkan rantau itu bakal bergolak.

Imej televisyen secara langsung menunjukkan Pelosi, yang terbang dengan pesawat tentera AS ke Lapangan Terbang Taipei Songshan, disambut oleh menteri luar Joseph Wu.

Pelosi kini dalam lawatan ke Asia dan walaupun beliau mahupun pejabatnya tidak mengesahkan lawatan ke Taipei, beberapa saluran media AS dan Taiwan melaporkan ia berada dalam senarai, sekali gus mencetuskan kemarahan Beijing.

Beberapa saat sebelum ketibaannya, media negara China mengumumkan jet pejuang Su-35 canggih sedang melintasi Selat Taiwan. Laporan ringkas itu tidak menyebut butiran mengenai masa atau lokasi tepat.

“Pelanggaran kepercayaan AS dalam isu Taiwan adalah keji,” kata menteri luar China Wang Yi dalam komen yang diterbitkan di laman web kementeriannya awal Selasa yang tidak menyebut secara khusus Pelosi. – AFP, 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen