SEBUAH kumpulan Kristian memberikan sokongan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh dengan mengadakan petisyen dalam talian bagi mendapatkan tandatangan bagi menghalang gangguan undang-undang kepada ahli politik DAP itu kerana autobiografinya.
CitizenGO, sebuah laman sesawang berpangkalan di Sepanyol, memulakan petisyen itu pada 27 Mei, yang ditujukan kepada lima orang, termasuklah Sultan Selangor dan Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Petisyen itu setakat ini berjaya mengumpulan 7,492 tandatangan. Sasarannya ialah mendapatkan 10,000 tandatangan.
Petisyen itu menyebut yang Yeoh hanya menulis tentang pengalamannya sebagai seorang Kristian dalam bukunya, “Becoming Hannah” dan bukannya cubaan untuk menukar agama orang Islam kepada Kristian.
“Buku Yeoh, yang diterbitkan pada 2015 kini menjadi sasaran dakwaan “dakwah”. Dan, walaupun dakwah menentang Islam ialah satu kesalahan di Malaysia, buku Yeoh hanyalah tentang pengalamannya tentang agamanya,” tulis kenyataan yang mengiringi petisyen itu.
Kenyataan itu turut menyebut yang Yeoh mempunyai semua hak untuk menganuti dan mengamalkan ajaran agamanya berdasarakan Perlembangaan Persekutuan Malaysia.
“Tetapi kini, di Selangor (salah satu daripada 13 negeri di Malaysia), seorang ahli politik beragama Kristian sedang diserang kerana menulis sebuah autobiografi, yang menceritakan bagaimana kepercayaan Kristiannya membantu dia memilih kerjaya dalam perkhidmatan awam,” tulis kenyataan itu.
Kenyataan itu turut mendesak tindakan diambil kepada pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia Kamarul Yusoff yang cuba “melakukan gangguan undang-undang” kepada Yeoh. Kamarul sudah membuat laporan polis mendakwa Yeoh cuba “berdakwah” kepada orang Islam melalui bukunya.
Kenyataan itu juga meminta supaya Sultan dan menteri besar untuk campur tangan dan mempertahankan undang-undang daripada disalah guna dalam dakwaan itu.
“Akhirnya, petisyen ini meminta supaya aduan ini tidak diterima mahkamah Malaysia.”
Buku Yeoh, “Becoming Hannah” mencetuskan kontroversi apabila Kamarul memuat naik catatan di Facebook mendakwa buku itu bertujuan untuk menukar agama orang Islam.
Yusoff juga membuat laporan polis kepada Yeoh di Kedah sebagai reaksi kepada laporan polis yang dibuat Yeoh tentang catatan Facebooknya pada 10 Mei itu.
CitizenGO bermula daripada Spanish Foundation, yang berusaha memastikan maruah dan hak semua orang dihormati dalam semua lapisan masyarakat menggunakan perspektif Kristian. – 29 Mei, 2017.
Komen