SPRM tak perlu tubuh indeks rasuah sendiri, kata pemerhati


Bede Hong

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel berkata yang perlu SPRM laukan sebenarnya ialah menangkap dalang sebenar dalam rasuah yang berakar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

PENURUNAN kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak mencerminkan kerja keras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas, sebaliknya ia menunjukkan peningkatan “salah laku” kepimpinan negara, kata badan pemerhati anti rasuah, C4 Centre.

Malahan, Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel berkata SPRM tidak perlu menubuhkan indeks rasuahnya sendiri sebagai tindak balas kepada penurunan ketara dalam indeks oleh Transparency International (TI) itu.

“Yang Malaysia perlukan sebenarnya ialah menangkap dalang sebenar dalam rasuah yang berakar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CPI yang dikeluarkan semalam menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-62, jatuh tujuh mata berbanding 2016, menandakan kedudukannya yang terendah sejak indeks Transparency International (TI) bermula pada 1995.

Dalam reaksinya semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata kedudukan terbaharu itu tidak mencerminkan usaha agresif SPRM dalam memerangi rasuah sejak tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dzulkifli juga berkata SPRM bercadang untuk mewujudkan indeks rasuah khas yang lebih berkesan bagi menganalisis prestasi dan situasi rasuah di negara ini.

Cynthia berkata Dzulkfili mungkin terkejut, tetapi tidak bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Beliau berkata institusi awam yang menyiasat skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi “mangsa kepada rejim yang menyembunyikan kebenaran”, dan tambah beliau lagi, pemeriksaan untuk memastikan integriti kepimpinan kerajaan “semuanya adalah kompromi”.

Skandal yang membelit 1MDB mencetuskan penyiasatan di seluruh dunia.

Tahun lalu, Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) telah memfailkan saman sivil untuk merampas aset bernilai jutaan dolar yang dikatakan dibeli menggunakan wang yang diseleweng dari dana 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia mengakui ia merupakan “kelemahan” dalam tadbir urus 1MDB, namun tidak mendakwa sesiapa dengan jenayah berkaitan urusniaga dana pelaburan negara itu. – 23 Februari, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen