MyHutan sedia platform untuk belia terlibat isu alam sekitar


Raevathi Supramaniam

MyHutan kini terdiri daripada 30 sukarelawan daripada pelbagai bidang pendidikan dan kerjaya yang kesemuanya berumur tidak lebih 30 tahun. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2022.

KEKURANGAN penyertaan belia dalam isu alam sekitar memberi inspirasi kepada sekumpulan anak muda untuk memulakan inisiatif “MyHutan” agar suara mereka didengari.

Inisiatif bermula dengan kluster iklim Delegasi Belia Malaysia yang bertemu kumpulan Undi18 untuk kerjasama pada 2020.

Ia kini terdiri daripada 30 sukarelawan daripada pelbagai bidang pendidikan dan kerjaya. Kesemua mereka berumur tidak melebihi 30 tahun.

Cameron Tjoe, 21, sekutu program untuk MyHutan, berkata adalah wajar bagi belia mengambil bahagian dalam isu alam sekitar kerana mereka yang akan menanggung akibatnya pada masa hadapan.

“Kami melihat terdapat kekurangan ruang belia apabila ia melibatkan alam sekitar,” Tjoe memberitahu The Malaysian Insight.

“Bukan untuk memperlekehkan kumpulan dan individu berusia dan berpengalaman dalam bidang alam sekitar, tetapi ada aspek tertentu yang golongan belia mahu fikiran dan suara kami didengari.

“Perspektif belia penting. Alam sekitar sedang dimusnahkan oleh pihak yang mungkin tidak ada dalam 30 atau 40 tahun, tetapi anak muda terpaksa berdepan dengan akibatnya.”

Untuk menyampaikan mesej mereka, kumpulan itu secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kumpulan alam sekitar, penggubal undang-undang serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Dari segi apa yang kami lakukan, kami cuba melibatkan diri dengan pihak berkepentingan. Kami membina banyak hubungan dengan agensi kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil.”

Menerusi sidang kemuncak MyHutan dan National Youth Climate Consultation yang berlangsung pada Mei, kumpulan itu mengumpulkan maklum balas daripada 100 peserta yang akan digunakan untuk tujuan advokasi.

“Pada sidang kemuncak MyHutan, kami meninjau pemikiran peserta dan dasar yang mereka mahukan.

“Keputusan masih disusun. Hampir 100 orang hadir dan memberikan pandangan yang pelbagai. Kami berharap untuk menerbitkannya bulan ini.

“Kami bertemu Menteri Alam Sekitar dan Air semasa Tuan Ibrahim Tuan Man, dan beliau bersetuju menerima Tuntutan Iklim Belia kami apabila ia selesai bulan depan.”

Selain advokasi, kumpulan itu juga tertumpu pada pemerkasaan dan kesedaran melalui akademi MyHutan bagi mendidik belia tentang keperluan memulihara alam sekitar dan bagaimana memastikan pandangan mereka didengari.

“Akademi MyHutan adalah inisiatif pemerkasaan belia supaya kita boleh membuat belia lebih sedar dan bercakap tentang isu alam sekitar kepada rakan sekerja dan kenalan mereka,” kata Tjoe.

“Semua acara dan bengkel kami tertumpu kepada isu alam sekitar tertentu seperti litigasi awam, hak orang asli, kesihatan awam, infrastruktur iklim yang mampan, komunikasi bagi aktivis iklim dan pembalakan serta dasar berkaitan dengannya.”

Kira-kira 300 orang mengambil bahagian dalam kesemua enam acara, kata Tjoe.

“Sebagai sebuah gerakan yang agak baru, dalam bidang persekitaran, banyak yang perlu dilakukan.

“Memandangkan kami mempunyai perspektif belia, kami cuba yang terbaik untuk memastikan ia berterusan dan kami harus menggunakannya untuk kelebihan kami.

“Kami berasa sangat yakin dan perubahan berlaku bersama kami dan cuba sebaik mungkin.”

Menurut Yayasan Hidupan Liar Dunia (WWF) hutan masih meliputi kira-kira 54% daripada jumlah keluasan tanah di Malaysia.

Dari 2001 hingga 2019, terdapat pengurangan kira-kira 8.12 juta hektar pokok di Malaysia. Ini bersamaan dengan penurunan 28% dalam pokok sejak 2000.

Selain penebangan hutan, hutan yang tinggal menghadapi ancaman pembalakan tidak mapan, pengambilan hasil hutan secara haram dan pencerobohan akibat aktiviti pertanian dan pembandaran. – 3 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen