Asean digesa beri tekanan terhadap junta Myanmar


Junta tentera Myanmar didakwa melakukan jenayah perang dengan meletakkan periuk api secara skala besar di sekitar kawasan kampung dan kediaman penduduk. – Gambar EPA, 2 Ogos, 2022.

MENTERI-MENTERI Luar Asean harus menjadikan pertemuan di Phnom Penh sebagai titik perubahan untuk membebaskan rakyat Myanmar daripada penderitaan.

Pada pertemuan itu, menteri-menteri luar perlu menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk mencari kesepakatan mengenai langkah-langkah kukuh dan terkoordinasi agar dapat memberi tekanan hebat kepada junta tentera Myanmar.

Gesaan itu disuarakan Ahli-ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) menerusi satu kenyataan memandangkan Kemboja bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-55 dan mesyuarat berkaitan dari 29 Julai hingga 5 Ogos di Phnom Penh.

Menurut APHR, keadaan di Myanmar terus merosot selepas 15 bulan pemimpin Asean dan ketua junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing menandatangani Konsensus Lima Perkara (5PC).

Sembilan pemimpin Asean dan ketua junta mencapai persetujuan pada April 2021 untuk melaksanakan 5PC bagi menangani krisis politik dan kemanusiaan yang tercetus akibat rampasan kuasa pada 1 Feb 2021.

APHR percaya Asean harus mewujudkan mekanisma pelaksanaan agar 5PC dapat berfungsi, termasuk mengenakan sekatan tersasar dan larangan perjalanan ke atas Min Aung Hlaing dan anak buahnya.

“Min Aung Hlaing sudah cukup diberi tempoh yang lama untuk mematuhi 5PC, namun sikapnya seolah-olah tidak menunjukkan dia menghormati perjanjian itu mahupun Asean. Sudah tiba masanya untuk dia dan pengikutnya berdepan akibatnya,” kata Ahli Lembaga APHR Eva Sundari.

5PC menggesa menamatkan segera keganasan, mengadakan dialog dengan semua pihak berkepentingan, pelantikan utusan khas untuk memudahkan pengantaraan dan bagi delegasi melawat dan bertemu dengan pihak berkepentingan di Myanmar, serta membenarkan Asean memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduknya.

Badan serantau itu juga digesa melibatkan diri secara terbuka dan mengiktiraf Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar, yang mengetuai kumpulan pro-demokrasi dan mewakili aspirasi rakyat Myanmar menuntut demokrasi, menurut kenyataan itu.

Asean juga harus mula bekerjasama dengan pertubuhan kemanusiaan dan pertubuhan masyarakat sivil bagi menyampaikan bantuan kepada golongan paling memerlukan berikutan Majlis Pentadbiran Negeri merampas bantuan kemanusiaan dan belum mengambil langkah ke arah memulakan dialog politik.

Ia terus melancarkan kempen penindasan terhadap rakyat tempatan bagi menghapuskan penentangan besar-besaran terhadap pemerintahan tentera.

Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean di Phnom Penh berlangsung kurang dua minggu selepas junta melaksanakan hukuman mati terhadap empat tahanan politik.

Junta meneruskan pelaksanaan hukuman mati dan tidak mengendahkan rayuan antarabangsa supaya hukuman tidak dilaksanakan.

Rayuan secara peribadi oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, selaku pengerusi Asean juga tidak diendahkan.

Setakat ini, seramai 76 tahanan Myanmar dijatuhi hukuman mati termasuk dua kanak-kanak (hukuman mungkin akak dilaksanakan pada bila-bila masa), manakala 41 orang dikenakan hukuman mati tanpa kehadiran. – Bernama, 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen