SERBIA Kosovo mula mengalihkan sekatan yang menghalang dua laluan lintasan sempadan di wilayah utara itu yang bersempadan dengan Serbia, selepas Pristina memutuskan untuk menangguhkan langkah perjalanan baharu.
Beberapa penghadang jalan raya dialihkan, manakala kerja sedang dijalankan untuk mengalihkan penghalang selebihnya, kata Menteri Dalam Negeri Kosovo Xhelal Svecla.
Beliau berkata ketika ketegangan meningkat antara Serbia dan etnik Albania di utara Kosovo berikutan insiden tembakan dan siren amaran serangan udara diaktifkan, 11 orang awam cedera di wilayah itu, lapor Agensi Anadolu.
Beberapa kenderaan milik orang awam dan polis turut mengalami kerosakan, tambahnya.
Wartawan Agensi Anadolu yang berada di tempat kejadian mengesahkan bahawa trak yang menghalang jalan ke lintasan sempadan Jarinje telah dialihkan.
Ketegangan antara Serbia dan Kosovo memuncak pada Ahad menjelang pelaksanaan rancangan undang-undang baharu Kosovo yang mewajibkan semua penduduk, termasuk warga Serbia yang tinggal di Kosovo, untuk memiliki kad pengenalan dan plat lesen Kosovo.
Susulan itu Kosovo mengumumkan untuk menangguhkan langkah baharu itu sehingga 1 September, dan semua penghadang dialihkan dan orang ramai boleh bebas bergerak.
Presiden Serbia Aleksandar Vucic menggesa dialog untuk menyelesaikan isu dengan Kosovo.
Kosovo, yang kebanyakannya didiami masyarakat Albania, berpisah dari Serbia pada 1999 dan mengisytiharkan kemerdekaannya pada 2008.
Kemerdekaan Kosovo diiktiraf lebih 100 negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Turkiye.
Sebaliknya Serbia masih enggan mengiktiraf kemerdekaan itu dan terus menuntut wilayah berkenaan. – Bernama, 2 Ogos, 2022.
Komen