Kit Siang minta Paul Low, Dzulkifli letak jawatan


Looi Sue-Chern

Lim Kit Siang berkata peletakan jawatan mereka yang bertanggungjawab dalam membanteras rasuah akan memulihkan keyakinan awam dan kredibiliti SPRM dalam memerangi rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang hari ini berkata mereka yang bertanggungjawab dalam membanteras rasuah patut letak jawatan selepas kedudukan Malaysia jatuh dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Ranking CPI Malaysia jatuh dari tangga 55 ke 66 dari 180 negara.

Lim berkata peletakan jawatan Paul Low, Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan ahli-ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JA), Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) akan memulihkan keyakinan awam dan kredibiliti SPRM dalam memerangi rasuah.

Beliau juga berkata Low yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dzulkifli bertanggungjawab atas penurunan ranking negara.

Low berkata penurunan itu disebabkan oleh kes berprofil tinggi SPRM pada 2017 manakala Dzulkifli menyatakan perasaan terkejutnya dan berkata SPRM akan mewujudkan indeks rasuahnya sendiri.

“Merepek! Itu saja sesuai untuk jawab dakwaan mengarut Low bahawa rantaian tangkapan berprofil tinggi tahun lepas yang sebabkan kejatuhan ranking.

“Ini bercanggah dengan kenyataan Presiden TI Malaysia, Akhbar Satar. Beliau kata jika bukan sebab SPRM agresif jalankan siasatan dan tangkapan, kedudukan akan lebih teruk dari tangga 62,” kata Lim pada persidangan akhbar hari ini.

Jelas Lim, semenjak Low pegang jawatan, kedudukan CPI Malaysia jatuh 12 tangga dari 50 (2014) ke 62 tahun lepas. Low sebelum ini adalah presiden TI Malaysia sebelum jadi menteri.

“Apa lagi alasan yang Low boleh beri? Nampaknya, kalau dia terus begini, Malaysia akan bertambah teruk.

“Apa sudah jadi dengan dakwaan Malaysia atara 30 negara paling kurang rasuah menjelang 2020, sedangkan kedudukan semakin jatuh?” soal Lim.

Lim juga terkejut apabila Dzulkifli melahirkan rasa terkejutnya mengenai perkara ini.

“Dzulkifli ingat rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mudah tertipu dengan kempen tangkapan secara mengejut SPRM ketika beliau jadi ketua supaya orang percaya SPRM banteras rasuah tak mengira pangkat atau jawatan.

“SPRM tak tangkap jerung dalam rasuah, tapi ditugaskan dengan agenda khas untuk mencemar dan merosak nama pemimpin Pakatan Harapan,” kata Lim.

Tambah beliau, CPI SPRM sendiri tiada kredibiliti kecuali di kalangan ahli Umno dan Barisan Nasional.

Lim juga berkata sebelum SPRM ditubuhkan pada 2009, kedudukan CPI Malaysia jauh lebih baik, iaitu pada kedudukan 23 ketika di bawah pemerintahan Dr Mahathir dan di kedudukan 39 semasa Abdullah Ahmad Badawi. Kedudukan Malaysia jatuh ke tempat 50 apabila Najib jadi perdana menteri. – 23 Februari, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen