4 maut dalam protes di Afrika Selatan


Protes diadakan di Thembisa membantah kenaikan kos elektrik, di mana empat terbunuh ketika bertembung dengan polis. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA empat terbunuh ketika protes membantah kos elektrik di sebuah bandar di Afrika Selatan, kata polis.

Penduduk berang dengan kos perkhidmatan asas yang tinggi, menyekat jalan raya dengan tayar terbakar dan membakar bangunan kerajaan tempatan di Thembisa, barat daya hab kewangan Johannesburg.

Pihak berkuasa berkata dua terbunuh dalam insiden tembakan polis selepas protes berlaku pada sebelah pagi.

“Mangsa dikatakan ditembak,” kata jurucakap polis Kelebogile Thepa.

Sebelah petang, Thepa berkata dua lagi mayat ditemui berhampiran pintu masuk bangunan yang dibakar – menjadikan jumlah kematian empat orang.

Polis masih belum mengesahkan punca kematian, katanya dan siasatan masih dijalankan.

Protes terhadap perkhidmatan yang teruk sering berlaku di Afrika Selatan, yang sedang bergelut dengan kadar pengangguran dan jenayah yang tertinggi di dunia.

Protes terbaru berlaku selepas bekas presiden Thabo Mbeki memberi amaran negara itu mungkin menyaksikan kebangkitan hampir sama dengan Arab Spring. – AFP, 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen