Lagi remaja Palestin maut ditembak tentera Israel


Seorang remaja rakyat Palestin mati ditembak tentera Israel di utara Tebing Barat yang diceroboh ketika pertempuran di kem pelarian Jenin. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2022.

SEORANG rakyat Palestin mati ditembak tentera Israel di utara Tebing Barat yang diceroboh, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Agensi berita Palestin, Wafa melaporkan lelaki itu dibunuh ketika pertempuran dengan tentera dan pasukan perisik Israel dalam samaran di kem pelarian Jenin.

Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital kerajaan Jenin selepas ditembak tentera penceroboh Israel, kata Kementerian Kesihatan dalam kenyataan.

Menurut sumber tempatan, mangsa dikenali sebagai Dhirar Riyad al-Kafrini, 17.

Jurucakap polis sempadan Israel berkata ejen yang menyamar diarahkan agensi keselamatan tempatan, Shin Bet, untuk memasuki kem berkenaan dan menahan dua suspek terbabit dengan kegiatan keganasan.

Difahamkan, mereka berjaya menahan seorang anggota kanan kumpulan pejuang Palestin, Bassam al-Saadi, dalam serbuan yang meragut nyawa remaja Palestin itu.

“Apabila pejuang memasuki Jenin, tembakan dilepaskan beberapa pengganas ke arah pejuang, yang membalasnya dengan tembakan,” kata jurucakap terbabit.

Kem Jenin sebuah kawasan tumpuan serbuan tentera Israel, susulan gelombang serangan rejim Yahudi itu, beberapa bulan lalu.

Sekurang-kurangnya 55 warga Palestin terbunuh sejak Mac lalu, kebanyakan di Tebing Barat.

Mereka termasuk suspek militan dan orang awam serta wartawan Al-Jazeera Shireen Abu Akleh, ketika membuat liputan satu serbuan Israel di Jenin.

Dalam tempoh masa sama, 19 mangsa majoriti Israel selain tiga penyerang Arab Israel, terbunuh akibat serangan Palestin. – AFP, 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen