AS bunuh ketua Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri


Gambar fail pada 2009 menunjukkan ketua Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri bercakap kepada kumpulannya. Beliau dilaporkan maut dalam serangan dron dilancarkan AS pada Sabtu lalu. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2022.

PRESIDEN Joe Biden hari ini mengumumkan Amerika Syarikat (AS) membunuh ketua Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri, antara individu paling dikehendaki di dunia dan disyaki dalang serangan 11 September, 2001.

Berucap menerusi siaran televisyen, Biden berkata serangan di Kabul, Afghanistan dilancarkan pada Sabtu.

“Saya beri kebenaran untuk serang dia,” katanya, menambah tiada orang awam yang terkorban.

“Keadilan tercaoai dan pemimpin pengganas ini sudah tiada lagi,” kata Biden.

Pegawai kanan pentadbiran berkata Zawahiri dibunuh di balkoni sebuah rumah di Kabul dalam satu serangan dron.

Pihak berkuasa berkata kehadiran Zawahiri di Kabul adalah pelanggaran perjanjian ditandatangani Taliban dengan AS di Doha pada 2020, yang membuka laluan kepada penarikan tentera AS dari Afghanistan.

Ia serangan pertama diketahui menggunakan dron dilakukan AS terhadap sasaran Al-Qaeda di Afghanistan sejak tentera AS keluar dari negara itu pada 31 Ogos, 2021.

Zawahiri, seorang pakar bedah warganegara Mesir yang membesar dalam keluarga mewah di Kaherah, beralih kepada radikalisme, dan hidup dalam pelarian sejak 20 tahun lalu iaitu selepas serangan 9/11 di AS.

Beliau mengambil alih kepimpinan Al-Qaeda selepas Osama Laden dibunuh tentera AS di Pakistan pada 2011.

Hujung minggu lalu, kementerian luar Afghanistan menafikan laporan yang tersebar di media sosial berkenaan serangan dron di Kabul, memberitahu AFP ia adalah serangan roket di sebuah rumah kosong, dan tiada kematian.

Bagaimanapun, awal hari ini di Kabul, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid menerusi Twitter berkata serangan udara dilancarkan di sebuah kediaman di kawasan Sherpur. – AFP, 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen