Afghanistan terima bantuan wang tunai AS$40 juta


Bantuan kemanusiaan baharu dalam bentuk wang tunai berjumlah AS$40 juta itu akan membantu Afghanistan meningkatkan rizab pertukaran asing untuk mengelakkan kemungkinan ekonominya ranap. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2022.

AFGHANISTAN menerima bantuan kemanusiaan baharu dalam bentuk wang tunai berjumlah AS$40 juta dan didepositkan ke sebuah bank perdagangan negara itu, lapor Xinhua memetik bank pusat dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Sebagai sebahagian daripada siri bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan, 40 juta dolar AS dalam bentuk tunai tiba di Kabul semalam (31 Julai) dan telah dipindahkan ke Bank Antarabangsa Afghanistan,” kata Da Afghanistan Bank (DBA).

Sambil mengucapkan terima kasih kepada masyarakat antarabangsa kerana menghantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan, DBA berkata bantuan tunai itu akan dibelanjakan secara telus.

Jumlah terakhir wang tunai yang diberikan kepada Afghanistan sebelum ini sebagai bantuan kemanusiaan adalah AS$32 juta, yang membantu negara dilanda perang itu meningkatkan rizab pertukaran asing untuk mengelakkan kemungkinan ekonominya ranap. – Bernama, 1 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen