Pasukan keselamatan Nato di Kosovo sedia campur tangan


KFOR Nato bersedia untuk campur tangan jika kestabilan di wilayah utara Kosovo terjejas ekoran konflik yang didakwa berlaku di sempadan Serbia. – Gambar AFP, 1 Ogos, 2022.

PASUKAN Keselamatan Kosovo (KFOR) Nato bersedia untuk campur tangan jika kestabilan di wilayah utara Kosovo terjejas ekoran konflik yang didakwa berlaku di sempadan Serbia.

‘‘Keadaan keselamatan keseluruhan adalah tegang di majlis perbandaran utara Kosovo. Misi KFOR yang diketuai Nato sedang memantau rapi dan bersedia untuk campur tangan jika kestabilan di sana terancam, selaras dengan mandatnya seperti yang termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1244 tahun 1999,’’ lapor Agensi Anadolu memetik KFOR dalam satu kenyataan.

KFOR menghantar tentera untuk membuat rondaan di jalanan ketika langkah keselamatan dilaksanakan di sekitar Mitrovica  semasa siren serangan udara terus kedengaran di bandar yang bersempadan dengan Serbia.

Turkiye juga menempatkan tenteranya di Kosovo sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman multinasional KFOR di Balkan.

Ketegangan antara Serbia dan Kosovo meningkat pada Ahad menjelang undang-undang baharu Kosovo yang ditetapkan berkuat kuasa pada Isnin yang mewajibkan semua penduduk, termasuk warga Serbia yang tinggal di Kosovo, untuk memiliki kad pengenalan dan plat lesen Kosovo.

Menurut media tempatan, siren serangan udara kedengaran di sepanjang sempadan Kosovo-Serbia ketika Kosovo bersedia untuk menyekat lintasan sempadan

Kosovo, yang kebanyakannya didiami masyarakat Albania, berpisah dari Serbia pada 1999 dan mengisytiharkan kemerdekaannya pada 2008. Ia diiktiraf lebih 100 negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Turkiye.

Serbia tidak mengiktiraf perkara itu dan masih berterusan menuntut wilayah itu. – Bernama, 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen