Mahkamah benar Loh cabar pengislaman anaknya


Raevathi Supramaniam

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk mencabar pertukaran agama sebelah pihak tiga anaknya.

Tiga anak Loh ditukarkan agama kepada Islam oleh bekas suaminya Nagashwaran Muniandy tanpa kebenarannya.

Loh memfailkan semakan kehakiman pada 25 Mac, menamakan Pendaftar Mualaf Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri sebagai responden.

Beliau memohon deklarasi ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, tidak ada kapasiti daripada segi undang-undang untuk membenarkan pendaftar mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Beliau juga menuntut deklarasi ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

Beliau memohon untuk membatalkan akuan memeluk Islam bertarikh 7 Julai, 2020 yang dikeluarkan Pendaftar Mualaf Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya.

Loh terpisah daripada anak-anaknya – kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang anak lelaki 10 tahun – sejak 2019 ketika beliau dirawat di hospital kerana cedera didakwa akibat penderaan fizikal dilakukan bekas suaminya.

Loh diberikan hak penjagaan penuh anak pada Mac lalu dan akhirnya dapat mengesan mereka pada awal bulan lalu di sebuah rumah kebajikan di Perlis, dan kemudian mengetahui mereka ditukarkan agama kepada Islam. – 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen