2,783 kes baharu Covid-19


Ravin Palanisamy

Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 826 kes, diikuti Kuala Lumpur 473 dan Sabah 252.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2022.

MALAYSIA mencatatkan 2,783 kes baharu Covid-19 pada hari terakhir Julai, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sejak permulaan wabak itu kepada 4,680,053, lapor Kementerian Kesihatan. 

Sembilan kematian turut didaftarkan, yang mana empat daripadanya diisytiharkan mati di luar hospital. Angka kematian kini mencecah 35,969 orang.

Daripada jumlah  kes harian yang baru dilaporkan, Selangor mendahului carta dengan 826 kes, diikuti Kuala Lumpur (473) dan Sabah (252).

Perak merekodkan 242 kes, Negeri Sembilan (234), Pulau Pinang (216), Kedah (114), Melaka (114), Johor (89), Putrajaya (65), Sarawak (56), Pahang (38), Kelantan (32), Terengganu (18), Labuan (11) dan Perlis (3).

Sementara itu, Selangor turut merekodkan kes kematian tertinggi semalam, iaitu tiga kematian yang mana satu daripadanya adalah kematian luar hospital.

Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing menyumbang satu kematian, kesemuanya adalah kes kematian luar hospital.

Perak, Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing turut melaporkan satu kes kematian.

Kes aktif menurun kepada 45,306 semalam apabila 4,482 orang pulih daripada penyakit itu.

Daripada jumlah kes aktif, 43,753 (96.6%) menjalani kuarantin di rumah, 22 (0.1%) di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah dan 1,477 (3.3%) di hospital.

54 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen