SEORANG lelaki Jepun ditahan di ibu kota komersial Myanmar, Yangon, seorang pegawai di kedutaan Jepun mengesahkan hari ini.
Rampasan kuasa tentera tahun lalu mencetuskan protes berterusan dan tindak balas keras daripada junta, dengan lebih 2,000 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 14,000 ditangkap, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Pada Sabtu, media Jepun dan tempatan berkata, penghasil filem Toru Kubota, 26, ditahan berhampiran perhimpunan antikerajaan bersama dua warga Myanmar.
“Saya boleh mengesahkan seorang warga Jepun ditahan semalam di Yangon,” kata seorang pegawai di kedutaan Jepun kepada AFP hari ini.
Pegawai Jepun itu, yang tidak mengesahkan identiti individu yang ditahan berkata, mereka tidak mempunyai maklumat sama ada dia ditahan semasa protes.
Jurucakap junta bagaimanapun tidak bersedia untuk mengulas.
Sekumpulan kecil orang ramai berhimpun di luar kementerian luar Jepun di Tokyo hari ini memegang sepanduk Kubota.
Beberapa warga asing ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap perbezaan pendapat sejak mengambil alih kuasa.
Tahun lalu, penerbit filem Jepun, Yuki Kitazumi ditahan pihak berkuasa Myanmar semasa membuat liputan selepas rampasan kuasa itu. Di bawah tekanan antarabangsa dia dibebaskan dan kembali ke Jepun pada Mei 2021.
Kitazumi melahirkan rasa terkejut dengan penahanan Kubota dan berkata beliau berharap Kubota akan dibebaskan ‘segera’.
“Dia seorang juruvideo dokumentari dan tiada sebab untuk dia ditangkap jika dia sedang mengumpul bahan,” katanya.
Junta Myanmar menyekat kebebasan akhbar, menangkap wartawan dan jurugambar serta membatalkan lesen penyiaran.
Hingga Mac tahun ini, 48 wartawan kekal dalam tahanan di seluruh negara, menurut kumpulan pemantau. – AFP, 31 Julai, 2022.
Komen