Rakyat Perak kurang kesedaran pengurusan e-waste, kata jabatan


Ramai masih enggan membuang peralatan elektrik usang kerana antaranya mempunyai nilai sentimental. – Gambar Facebook, 31 Julai, 2022.

HANYA 10% rakyat Perak dipercayai mempunyai kesedaran berhubung kepentingan pengurusan sisa produk elektrik dan elektronik (e-waste) terhadap alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak Rosli Zul berkata tahap kesedaran itu masih lagi rendah dan perkara itu berkait rapat dengan budaya atau sikap masyarakat yang suka menyimpan peralatan elektrik atau elektronik yang lapuk walaupun menyedari ia tidak lagi boleh digunakan.

“Perak mempunyai lebih 2 juta rakyat dan kalau mengikut pengiraan global seorang individu akan hasilkan lebih 2 kilogram e-waste. Berdasarkan anggaran itu, jumlah pengumpulan e-waste sepatutnya jauh lebih besar berbanding 314 metrik tan e-waste yang kita berjaya rekodkan tahun lalu.

“Punca utama adalah masyarakat kita masih ada sikap suka simpan peralatan lama yang rosak. Alasannya, barang itu mempunyai banyak kenangan dan mempunyai nilai sentimental dalam kehidupan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pertandingan Enviro Challenge rakan alam sekitar di Ipoh, hari ini.

Rosli berkata, sikap seumpama itu sepatutnya dielakkan kerana ia tidak memberi sebarang nilai tambah atau manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau setakat ini terdapat lebih 30 pusat pengumpulan e-waste di Perak yang menyaksikan kerjasama antara pihaknya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita bekerjasama dengan PBT kerana mereka pihak yang paling dekat dengan masyarakat selain antara agensi utama yang memfokuskan kepada pengurusan membabitkan sektor perumahan,” katanya. – Bernama, 31 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen