SERANGAN dron ke atas kapal perang Russia di pelabuhan Crimea, Sebastopol pada Ahad mencederakan lima orang, kata datuk bandar Mikhail Razvozhayev.
“Pagi ini, pejuang nasionalis Ukraine memutuskan untuk merosakkan Hari Armada Russia” yang disambut pada Ahad, katanya di Telegram sambil menambah lima orang termasuk kakitangan tentera mengalami kecederaan.
Majlis sambutan itu “dibatalkan atas sebab keselamatan” katanya, meminta penduduk bandar itu untuk kekal di dalam rumah “sekiranya boleh”.
Sambutan secara besar-besaran akan berlangsung di Russia, termasuk perarakan tentera laut di Saint Petersburg yang akan dihadiri Presiden Vladimir Putin.
Tentera Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini berjaya merampas semula wilayah yang dirampas oleh tentera Russia sejak pencerobohan mereka pada 24 Februari.
Pada Rabu, serangan Ukraine memusnahkan sebahagian jambatan utama di bandar Kherson, yang diduduki oleh tentera Russia. – AFP, 31 Julai, 2022.
Komen