SEBANYAK 37 kerusi majoriti Melayu perlu ditumpukan Barisan Nasional (BN) Selangor untuk memenangi negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Najib Razak.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu berkata ia meliputi 25 kawasan dengan sekitar 60% pengundi Melayu dan 12 kawasan lagi dengan jumlah 50% hingga 60% pengundi komuniti itu.
“Kawasan antara 40% hingga 50% (pengundi Melayu) boleh lagi cuba, inilah yang saya kata semangat BN mesti ditingkatkan,” kata Najib.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 ahli parti tersebut di Konvensyen BN Selangor, di Setia Alam, pagi tadi.
Dari keseluruhan 56 kawasan DUN Selangor itu, tiga kerusi mempunyai sekitar 40% hingga 50% pengundi Melayu dan 16 kerusi mempunyai kurang 50% dari pengundi Melayu.
Pakatan Harapan (PH) menguasai 51 kerusi DUN berbanding BN yang hanya mewakili empat kerusi, manakala PAS hanya satu kerusi dalam kedudukan selepas PRU14.
Ia keputusan paling buruk pernah dicapai BN Selangor selepas berjaya menyapu licin 54 kerusi dalam pilihan raya umum 2004.
Pencapaiannya mula merosot pada 2008 apabila BN tewas di kebanyakan kerusi dan hanya menang di 20 kerusi, yang semakin susut kepada hanya 23 kerusi dalam pilihan raya umum 2013.
Oleh itu BN perlu menebus rasa terhina selepas tewas dan hilang kerajaan Persekutuan dalam PRU14, kata ahli Parlimen Pekan itu.

Calon yang ditawar pula perlu benar-benar layak dan cekap untuk memenangi hati pengundi bandar kerana BN tidak harus dilihat sebagai parti yang hanya menguasai kawasan luar bandar, katanya.
Tokoh yang dipromosi di poster juga mestilah benar-benar mampu menarik perhatian pengundi kepada gabungan parti berkenaan, katanya.
“Di kawasan bandar kalau orang itu lekeh (pengundi) takkan undi. Mesti tengok ada gaya, ada potongan nak jadi kerajaan negeri.
“Kalau orang itu dah nampak (pun) loya tekak kita, tak boleh. Lembik longlai, tak pandai, tak usah. Kita mesti realistik, pilih calon yang kompeten dan berwibawa,” katanya.
Oleh itu jentera BN harus bijak menyusun strategi mendekati pengundi bandar melalui persatuan penduduk, kumpulan fokus, dan pemimpin masyarakat.
“Mungkin kena lebih lagi dengan mendekati kumpulan fokus. Kumpul pemimpin penduduk, minum santai kopitiam atau kedai mamak, bincang masalah tempatan.
“Nak masuk kondominium, komuniti berpagar tak boleh. Kita kena fikir cara bentuk kempen di kawasan bandar.
“Fikirlah, saya bawa cadangan dan pandangan guna kumpulan fokus, jawatankuasa perumahan tempatan, rukun tetangga, cari jalan,” kata Najib lagi.

Tambahnya, BN Selangor harus bijak mengeksploitasi kelemahan kerajaan negeri kerana banyak tindakan pentadbiran PH itu menyusahkan rakyat Selangor.
Katanya, pengundi perlu diingatkan bahawa sebahagian besar kejayaan dan pembangunan perindustrian di Selangor itu jasa pentadbiran kerajaan BN ditunjangi Umno.
“Beritahu rakyat Selangor ini bukan hasil usaha PH bukan Perikatan Nasional (PN) tapi BN,” kata Najib.
Katanya lagi, kelemahan itu dapat dilihat dalam dalam perkembangan paling perlahan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun lalu berbanding negeri lain.
“Dalam tempoh 10 tahun selepas PH ambil alih Selangor pada 2008, KDNK Selangor berkembang hanya 88.7%.
“KDNK negeri lain berkembang lebih pesat, KL 148.5%. Pahang 105.8%. Melaka 107.5%. Labuan 137.6%. Bererti dalam tempoh 10 tahun di bawah pentadbiran PH di Selangor perkembangan ekonomi lebih perlahan berbanding negeri lain dalam negara.
“Ini mesti beritahu pengundi di Selangor. Rekod PH tidaklah begitu merangsangkan. Ini data, saya tak tipu.
“Data rasmi daripada Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan kadar pertumbuhan Selangor bawah kerajaan negeri yang ada sekarang lebih perlahan daripada negeri lain,” kata Najib.
Beliau seterusnya mengingatkan akar umbi BN akar lebih fleksibel dalam pengagihan kerusi antara komponen parti itu agar matlamat untuk menang mudah dicapai.
“Kebanyakan kerusi di Selangor campuran 40% bukan Melayu, kita mesti tumpu nak menang. Jentera kita mesti fokus tak kira calon Umno MCA, atau MIC atas nama BN mesti kerja kuat nak jamin kemenangan kita.
“Jadi kita mesti faham pertama semangat BN selain itu mesti ada fleksibiliti dalam rundingan kerusi matlamatnya nak menang,” kata Najib. – 31 Julai, 2022.
Komen