56 maut banjir kilat di Iran


Banjir kilat melanda Iran sejak beberapa hari lalu dengan setakat ini 56 mangsa terkorban dengan jumlah paling tinggi di Tehran. – Gambar EPA, 31 Julai, 2022.

ANGKA kematian akibat banjir kilat yang melanda Iran sejak beberapa hari lalu mencecah 56 orang, dengan amaran cuaca masih dilkeluarkan.

Ketua Operasi Kecemasan di Persatuan Bulan Sabit Merah Iran Mehdi Valipour, memberitahu media tempatan semalam kematian bertambah dengan operasi mencari terus dipertingkat, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata banjir berikutan hujan lebat sejak seminggu lalu menjejaskan 20 daripada 31 wilayah di negara itu, termasuk ratusan bandar, pekan dan kampung, di samping merosakkan jalan raya dan lebuh raya utama.

Valipour berkata setakat ini 18 kematian dilaporkan daripada Imamzadeh Davood dan 14 daripada Firuzkooh, dengan sekurang-kurangnya 28 masih dilaporkan hilang di seluruh negara.

Gabenor Tehran Mohsen Mansuri dalam kenyataan berasingan semalam berkata sekurang-kurangnya 11 disahkan meninggal dunia di Firuzkooh, dengan empat yang lain hilang.

Imamzadeh Davood dan Firuzkooh adalah lokasi tarikan popular di kalangan pengembara dan pendaki, selain menempatkan kuil popular yang turut rosak teruk dalam banjir terbaru itu.

Bandar dan daerah bersebelahan Tehran, termasuk Damavand dan Rudehen, juga terjejas teruk akibat banjir, mengalami kerugian akibat kebun dan tanaman pertanian musnah, dan memaksa beribu-ribu orang mengosongkan rumah mereka.

Iran, sebuah negara yang sering mengalami musim kemarau yang panjang, kadang-kala dilanda banjir yang dahsyat, kebanyakannya pada musim panas. Pakar mengaitkannya dengan perubahan iklim.

Pakar meteorologi meramalkan lebih banyak hujan dalam beberapa hari akan datang di bandar-bandar di Iran, dengan pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk mengelak kawasan yang terdedah kepada banjir. – Bernama, 31 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen