SEBANYAK 4,271 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam berbanding 4,860 yang dilapor pada Jumaat, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Data KKM di laman web CovidNow menunjukkan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara kini mencecah 4,677,270 kes sejak pandemik melanda.
Selangor catat angka harian tertinggi semalam iaitu sebanyak 1,972 kes, diikuti Kuala Lumpur (723) dan Perak (280).

Semalam juga sebanyak empat kematian akibat Covid-19 direkodkan, dengan satu daripadanya adalah kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Ini menjadikan jumlah kematian setakat ini 35,960 orang, menurut data KKM. Kes kematian dilaporkan masing-masing satu di Melaka, Perak, Sabah dan Terengganu.
Jumlah kes aktif pula ialah 47,014.
Sementara itu, seramai 1,446 pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital. Daripada jumlah itu, 28 orang ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 31 Julai, 2022.
Komen