Perikatan perlu berjaya kuasai Putrajaya, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan akan dapat membantu menyelamatkan negara jika berjaya menguasai Putrajaya. – Gambar Facebook, 31 Julai, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) perlu berjaya membentuk kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang dan bukan hanya mengekalkan kemenangan di tiga negeri dikuasai PAS, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata gabungan tersebut hanya akan dapat membantu menyelamatkan negara sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.

“Kita ada tugas besar nak urus PRU. Bukan saja kita nak Terengganu, Kedah dan Kelantan yang kekal menang tapi kita juga nak selamatkan negara, selamatkan seluruh Malaysia.

“Kita mahu berkuasa membentuk kerajaan pusat. Kalau kita menang di Kelantan, Terengganu Kedah saja tak cukup,” katanya pada pelancaran PN Terengganu malam tadi.

Muhyiddin juga membayangkan PN akan bertanding semua kerusi yang akan diagihkan dengan rakan parti komponen gabungan parti itu.

“Ini kerjasama yang hebat dapat kita materikan. Kita bertanding mungkin habis semua ataupun sebahagian kerusi yang kita agihkan sesama kita,” katanya.

Tambahnya, Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang digelarnya Tok Guru juga bersetuju untuk tidak memanjangkan lagi rundingan agihan kerusi pada mesyuarat PN yang lalu.

“Selepas ini kita tak nak lengah-lengah nak duduk runding selesaikan pembahagian kerusi seluruh negara, kerusi Parlimen dan juga negeri yang akan kita hadapi dalam pilihan raya depan,” katanya.

Mengulas lanjut presiden Bersatu itu berkata PN tidak akan berdepan dengan isu rebutan kerusi jika semua parti dapat bertolak ansur.

Pada masa sama, Muhyiddin juga yakin gabungan PN akan menang besar di Terengganu dalam pilihan raya kelak.

“Walau sokongan tak sebesar mana dari Bersatu dan Gerakan saya kira PN boleh menang 100 peratus di peringkat Dewan Undangan Negeri atau di peringkat Parlimen,” katanya. – 31 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen