Undi Perikatan jika mahu kerajaan stabil, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Perikatan Nasional mentadbir negara dengan cemerlang waktu Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri kelapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2022.

RAKYAT perlu memberi mandat mengundi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika mahu kerajaan yang stabil dan kuat, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata kemampuan PN untuk mentadbir negara dengan cemerlang telah terbukti sewaktu  Muhyiddin Yassin yang merupakan pengerusi gabungan itu menjadi perdana menteri kelapan.

“Rakyat kena tahu PN sudah tunjukkan bukti dalam masa memerintahnya berjaya memimpin negara melaksanakan banyak perkara.

“Tapi oleh kerana kerajaan kita tak kuat dan oleh kerana PRU15 nak dekat kita minta rakyat beri mandat kepada PN untuk bina kerajaan kukuh dan kuat,” katanya.

Dalam ucapan di majlis pelancaran PN Terengganu di Marang malam tadi, Hadi juga berkata PAS menganggap Muhyiddin meletak jawatan perdana menteri demi menyelamatkan gabungan itu.

“Demi selamatkan PN Muhyiddin terpaksa letakkan jawatan. Bukan mudah nak letak jawatan PM, tapi beliau lepaskan jawatan.

“Lepas beliau letak jawatan, kita secara bertolak ansur terima perdana menteri dari Umno maka pemerintahan boleh dilangsungkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata biarpun PN semasa memerintah tiada manifesto tetapi mereka mempunyai agenda untuk rakyat.

“Masa PN kita tak ada manifesto tapi ada masalah wabak pendemik dan ekonomi semua kita dapat hadapi dengan baik,” katanya.

Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri kelapan selepas gerakan Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Beliau bagaimanapun terpaksa letak jawatan selepas 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan ke atasnya.

Sepanjang 17 bulan memegang jawatan, Muhyiddin menguatkuasa kawalan pergerakan paling lama bagi membendung pandemik Covid-19.

Beliau juga menguatkuasa perintah darurat yang dikritik hebat kerana menghalang Parlimen bersidang. – 31 Julai, 2022.     
  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen