PENDAKWA di Lubnan mengarahkan sebuah kapal yang membawa bendera Syria dirampas, ketika ia berlabuh di pelabuhan dengan membawa kargo bijirin dari Kyiv, Ukraine, kata Beirut.
Pendakwa raya Ghassan Oueidat mengarahkan polis menyiasat Laodicea yang berlabuh di Tripoli awal minggu ini, kata sumber.
Oueidat mengarahkan kapal itu dirampas hingga siasatan selesai, kata pihak berkuasa yang enggan mendedahkan namanya.
Polis Lubnan turut diarahkan berbincang dengan kedutaan Ukraine selepas ia mendakwa bijirin yang dibawa menggunakan kapal Syria itu bertolak dari wilayah yang dijajah tentera Russia.
Ukraine yang dicerobohi Russia pada Februari, sering menuduh tentera Moscow menyerbu gudang bijirin Ukraine.
Kementerian Luar Lubnan berkata kapal dengan bendera Syria itu membawa barli dan tepung.
Duta Ukraine Ihor Ostash memberitahu Presiden Lubnan Michel Aoun barli yang dibawa secara tidak sah itu dari wilayah Ukraine yang diduduki Russia.
Laporan awal menunjukkan pemilik syarikat perkapalan itu warganegara Turki dan bijirin itu milik pedagang Syria, kata sumber.
Sebahagian kargo itu dijadualkan diturunkan di Lubnan dan selebihnya dihantar ke Syria.
Kastam berkata dokumen kapal itu menepati syarat ditetapkan dan tiada bukti barangan itu dicuri. – AFP, 31 Julai, 2022.
Komen