BANJIR teruk di Kentucky menyebabkan 25 terbunuh dan jumlah itu dijangka bertambah, kata gabenor negeri di selatan Amerika Syarikat (AS) itu semalam, ketika penyelamat dan penduduk terus berusaha mencari mangsa terselamat.
Hujan lebat awal minggu ini menyebabkan banjir di 13 daerah di timur Kentucky.
Banyak jalan dan jambatan di wilayah pergunungan itu – kawasan miskin akibat kemerosotan industri arang batu – musnah dan rosak teruk. Dengan perkhidmatan telefon bimbit yang terganggu, operasi mencari mangsa terselamat amat sukar.
“Saya bimbang kita akan temui banyak mayat dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Teruskanlah berdoa,” kata Gabenor Andy Beshear pada taklimat berita semalam.
Gabenor itu mengesahkan pada masa ini fasa mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Beshear berkata laporan awal mengatakan enam kanak-kanak antara yang maut tidak tepat; dua daripadanya adalah dewasa.
Menurut laporan media tempatan empat kanak-kanak itu terkorban dalam keadaan menyayat hati. Beberapa ahli sebuah keluarga bergayut di pokok selepas air deras menghanyutkan rumah bergerak mereka, sebelum kanak-kanak terbabit terlepas daripada pegangan ibu bapa mereka, seorang demi seorang akibat air terlalu kuat. – AFP, 31 Julai, 2022.
Komen