WHO Eropah jangka lebih banyak kematian cacar monyet


Sekumpulan orang mengadakan demonstrasi untuk menuntut vaksin cacar monyet di luar pejabat Setiausaha Kesihatan di Mexico City, Mexico. Sepanyol dan Brazil melaporkan kematian pertama berkaitan cacar monyet semalam. – Gambar EPA, 30 Julai 2022.

PEJABAT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah hari ini menjangkakan lebih banyak kes kematian disebabkan cacar monyet susulan laporan kematian pertama di luar Afrika, selain menegaskan komplikasi teruk masih jarang berlaku.

Pegawai Kecemasan Kanan WHO Eropah, Catherine Smallwood dalam kenyataan menjangkakan situasi itu susulan penularan cacar monyet berterusan di benua itu.

Beliau menegaskan matlamatnya perlu ‘mengganggu penularan pantas di Eropah dan menghentikan wabak itu’, selain menjelaskan kebanyakan kes penyakit itu sembuh sendiri tanpa memerlukan rawatan.

“Pemberitahuan kematian akibat cacar monyet tidak mengubah penilaian kami terhadap penularan di Eropah. Kami sedar cacar monyet boleh menyebabkan komplikasi teruk.

“Sebab biasa pesakit mungkin memerlukan rawatan di hospital termasuk bantuan dalam menguruskan kesakitan, jangkitan sekunder dan sebilangan kecil kes memerlukan pengurusan komplikasi mengancam nyawa seperti ensefalitis,” katanya.

Kementerian kesihatan Sepanyol merekodkan kes kematian kedua cacar monyet hari ini, sehari selepas Sepanyol dan Brazil melaporkan kematian pertamanya.

Pengumuman itu menyaksikan kematian pertama dikaitkan dengan penularan di luar Afrika.

Pihak berkuasa Sepanyol tidak memberikan punca khusus bagi kematian, sementara menunggu keputusan bedah siasat, manakala pihak berkuasa Brazil menjelaskan lelaki yang maut itu mempunyai ‘keadaan serius lain’.

Berdasarkan WHO, lebih 18,000 kes dikesan di seluruh dunia sejak awal Mei lalu, dengan majoritinya di Eropah, selain mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global minggu lalu.

Ketika kes meningkat di seluruh dunia, WHO pada Rabu meminta kumpulan paling terjejas oleh virus itu iaitu golongan homoseksual untuk mengehadkan pasangan seksual mereka.

Tanda awalnya termasuk demam panas, bengkak kelenjar limfa dan ruam seperti cacar air. Ia biasanya sembuh dengan sendirinya selepas dua hingga tiga minggu atau sebulan.

Vaksin cacar daripada pembuat ubatan Denmark, Bavarian Nordic dipasarkan sebagai Jynneos di Amerika Syarikat dan Imvanex di Eropah, didapati mampu melindungi daripada cacar monyet. – AFP, 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen