Tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan Korea Utara hari ini


Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta kes jangkitan sejak hujung April. – Gambar AFP, 30 Julai, 2022.

KOREA Utara melaporkan tiada kes baharu hari ini buat kali pertama dalam tempoh lebih dua bulan sejak ia mengesahkan kes pertama Covid-19 pada Mei.

“Tiada pesakit baharu dilaporkan” dalam tempoh lebih 24 jam sejak petang Khamis, lapor Agensi Berita Pusat Korea, menandakan kali pertama negara terasing itu melaporkan tiada kes baharu sejak ia mula mendedahkan jumlah kes pada Mei.

Walaupun ia melaksanakan sekatan ketat coronavirus  sejak pandemik bermula, pakar berkata ledakan varian Omicron di negara jiran hanya menunggu masa untuk menyelinap masuk ke negara terasing itu.

Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta kes jangkitan sejak hujung April, lapor KCNA, menambah “99.994%” daripada mereka pulih sepenuhnya dengan hanya 204 pesakit masih dalam rawatan.

Disebabkan kelemahan keupayaan saringan, Korea Utara menggunakan terma “pesakit demam” berbanding “pesakit Covid” dalam laporan kes mereka.

Negara itu juga mempunyai salah satu sistem kesihatan terburuk dalam dunia, dengan hospital tidak lengkap fasiliti, jumlah rendah unit rawatan rapi, dan tiada ubat-ubatan rawatan Covid-19 atau kit saringan massa, kata pakar.

Pyongyang mengumumkan kes pertama coronavirus pada 12 Mei dan mengaktifkan “sistem darurat pencegahan epidemik maksimum”, dengan Kim Jong Un menjadi ketua pusat tindakan kerajaan ditubuhkan untuk mengatasi isu itu.

Korea Utara masih belum melancarkan vaksinasi rakyatnya yang dianggarkan berjumlah 25 juta orang, mereka turut menolak suntikan ditawarkan Organisasi Kesihatan Dunia.

Korea Selatan sebelum ini turut menawarkan penghantaran vaksin dan bantuan perubatan lain bagi menangani wabak itu.

Setakat ini Pyongyang masih tidak memberi responds kepada tawaran itu. – AFP, 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen