PERIKATAN Nasional menyerahkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh pertemuan bagi membincangkan kekecewaan mereka berkaitan terma perjanjian yang tidak dipenuhi, kata Pengerusinya Muhyiddin Yassin.
“Ia terserah kepada perdana menteri untuk tentukan bila,” kata Muhyiddin kepada media selepas program bersama nelayan di Kuala Terengganu.
Muhyiddin turun ke Terengganu bagi pelancaran PN peringkat negeri itu.
Semalam Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin berkata PN akan menghantar delegasi untuk bertemu Ismail bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian kerjasama antara gabungan itu dan Putrajaya.
Setiausaha agung PN itu berkata ia berikutan perdana menteri dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma penting yang terkandung dalam perjanjian itu.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN semalam, dan dihadiri Pengerusi Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Hadi Awang, Presiden Star Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan Dominic Lau.
Awal bulan ini, Muhyiddin berkata beliau sudah bertemu Ismail untuk membincangkan beberapa perkara penting, termasuk berkaitan jawatan timbalan perdana menteri.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, berkata mesyuarat itu diadakan beberapa hari lalu untuk mempertimbangkan perjanjian antara mereka.
Perjanjian persefahaman antara PN dan Ismail antaranya merangkumi pelantikan timbalan perdana menteri daripada Bersatu dan bilangan jawatan Kabinet yang diperuntukkan untuk diisi wakil rakyat PN.
Sejak beberapa bulan lepas, Bersatu kerap menggesak Ismail untuk menamakan menteri daripada parti itu bagi menggantikan Zuraida Kamaruddin yang berpaling tadah kepada Parti Bangsa Malaysia.
Parti itu juga mendesak Ismail untuk melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu. – 30 Julai, 2022.
Komen