PRU15 mungkin yang terakhir bagi saya, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata tidak akan menolak untuk bertanding PRU jika khidmatnya masih diperlukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2022.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sambil berkata ia mungkin merupakan penggal terakhirnya.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak akan menolak untuk bertanding jika masih diperlukan.

“Mungkin PRU15 ini penggal akhir, lepas itu akan berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu saya lapan orang serta anak- anak.

“Mungkin sudah sampai masa tapi mungkin kalau keadaan mendesak dan memerlukan insya Allah kita akan fikirkan perkara itu. Insya Allah,” katanya pada Dialog Majlis Pemulihan Negara bersama Belia.

Muhyiddin berada di Terengganu hari ini bagi pelancaran Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN menjadi perdana menteri ke lapan selepas peralihan kuasa menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang menerusi Langkah Sheraton.

Pada Ogos lalu, beliau terpaksa meletakkan jawatannya selepas kehilangan kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Pada PRU14, beliau bertanding di kerusi Parlimen Pagoh atas tiket Pakatan Harapan dan menang dengan majoroti 6,927 undi. – 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen