SEKURANG-KURANGNYA 42 orang meninggal dunia dan hampir 100 yang lain dimasukkan ke hospital di barat India selepas meminum alkohol beracun, kata polis pada Khamis, dengan pihak berkuasa mengarahkan tindakan keras terhadap pembuat dan pengedar arak haram.
Puluhan orang jatuh sakit awal minggu ini selepas meminum metanol—sejenis alkohol beracun yang kadangkala digunakan sebagai antibeku—dijual di beberapa kampung di seluruh negeri Gujarat.
Pegawai kanan polis Ashok Yadav memberitahu AFP yang 31 orang meninggal dunia di daerah Botad.
Sebanyak 11 lagi orang maut di daerah Ahmedabad berdekatan, V Chandrasekar, kata seorang lagi pegawai kanan polis memberitahu AFP.
“Siasatan mendapati mangsa mengambil metanol gred industri yang menyebabkan kematian,” kata Menteri Dalam Negeri Harsh Sanghavi dalam kenyataan.
Sanghavi berkata 97 orang dimasukkan ke hospital untuk rawatan, dengan dua dalam keadaan kritikal.
Gujarat, negeri asal Perdana Menteri Narendra Modi, adalah antara beberapa negeri di India melarang pengambilan dan penjualan minuman keras.
Pihak berkuasa membanteras kedai arak haram di seluruh Gujerat dan menahan beberapa orang, kata ketua polis negeri Ashish Bhatia pada Rabu.
Ratusan orang mati setiap tahun di India akibat alkohol murah yang dibuat di kilang haram.
Daripada anggaran 5 bilion liter alkohol yang diminum setiap tahun di negara ini, kira-kira 40% dihasilkan secara haram, Persatuan Wine dan Spirit India.
Minuman keras itu sering menggunakan metanol untuk meningkatkan potensinya. Jika tertelan, metanol boleh menyebabkan buta, kerosakan hati dan kematian.
Tahun lalu, 98 orang maut di negeri utara Punjab selepas meminum minuman keras.
Pada 2019, lebih 150 orang maut dalam kejadian serupa di timur laut negeri Assam, kebanyakannya pekerja ladang teh. – AFP, 30 Julai, 2022.
Komen