Sepanyol, Brazil lapor kematian pertama cacar monyet di luar Afrika


Orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksin cacar monyet di Kampus Pendidikan Bushwick di Brooklyn, New York City, AS pada 17 Julai 2022. – Gambar AFP, 30 Julai, 2022.

SEPANYOL dan Brazil melaporkan kematian pertama berkaitan cacar monyet pada Jumaat, yang dianggap sebagai kematian pertama berkaitan penyakit itu di luar Afrika.

Sepanyol adalah antara negara paling teruk dilanda di dunia, dengan 4,298 orang dijangkiti virus itu, menurut pusat penyelarasan kecemasan dan amaran kementerian kesihatan.

“Daripada 3,750 pesakit (cacar monyet) dengan maklumat yang ada, 120 kes dimasukkan ke hospital (3.2%) dan satu kes meninggal dunia,” kata pusat itu dalam satu laporan.

Seorang pegawai tidak akan memberikan punca khusus kematian sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Di Brazil seorang lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia akibat cacar monyet, kata pihak berkuasa tempatan pada Jumaat.

Lelaki yang didakwa media tempatan mempunyai masalah sistem imun yang serius, meninggal dunia pada Khamis di Belo Horizonte, ibu negeri Minas Gerais.

Beliau “sedang menerima rawatan hospital untuk keadaan serius yang lain”, kementerian kesihatan negeri berkata dalam satu kenyataan.

“Adalah penting untuk menegaskan yang beliau mempunyai komorbiditi yang serius, supaya tidak menyebarkan panik dalam populasi. Kadar kematian bagi cacar monyet sangat rendah,” kata setiausaha kesihatan Minas Gerais Fabio Baccheretti, yang menambah pesakit itu sedang menjalani kanser rawatan.

Kecemasan kesihatan global 

Kementerian kesihatan Brazil merekodkan hampir 1,000 kes cacar monyet, kebanyakannya di negeri Sao Paulo dan Rio de Janeiro.

Tanda-tanda awal penyakit ini termasuk demam panas, kelenjar limfa yang bengkak dan ruam seperti cacar air.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu lalu mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.

Menurut WHO, lebih 18,000 kes dikesan di seluruh dunia di luar Afrika sejak awal Mei.

Penyakit itu dikesan di 78 negara, dengan 70% kes ditemui di Eropah dan 25% di Amerika, kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu.

Ketika kes meningkat secara global, WHO pada Rabu meminta kumpulan yang paling terjejas oleh virus itu—lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki—agar mengehadkan pasangan seksual mereka.

Ghebreyesus memberitahu wartawan yang cara terbaik untuk melindungi daripada jangkitan adalah “mengurangkan risiko pendedahan”.

“Bagi lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, kurangkan bilangan pasangan seksual anda, pertimbangkan semula hubungan seks dengan pasangan baharu, dan bertukar butiran hubungan dengan mana-mana pasangan baharu untuk membolehkan tindakan susulan jika perlu,” katanya.

Penyakit biasanya sembuh dengan sendirinya selepas dua hingga tiga minggu, kadang-kala mengambil masa sebulan.

Vaksin cacar daripada pengeluar Denmark, Bavarian Nordic, yang dipasarkan di bawah nama Jynneos di Amerika Syarikat dan Imvanex di Eropah, juga didapati melindungi daripada cacar monyet. – AFP, 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen