Amanah Wilayah Persekutuan tuntut tiga kerusi


Diyana Ibrahim

Amanah yakin PH akan menunaikan hasratnya untuk mendapat 3 kerusi pada PRU15 atas dasar semangat setiakawan kerjasama gabungan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2022.

AMANAH Wilayah Persekutuan menuntut tiga kerusi Parlimen untuk ditandingi kali ini selepas berputih mata tanpa sebarang peluang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Timbalan pengerusinya Zaharuddin Othman memberitahu The Malaysian Insight, mereka menuntut untuk bertanding di kerusi Titiwangsa, Bandar Tun Razak dan Putrajaya.

“Perkara itu sudah ada dalam perbincangan awal Pakatan Harapan (PH). Kali ini perlu ada kerusi untuk Amanah atas dasar semangat PH dan untuk mengimbangi keterlibatan komponen parti dalam PH,” katanya.

Zaharuddin berkata permintaan Amanah Wilayah Persekutuan itu munasabah memandangkan dua kerusi, Putrajaya dan Titiwangsa sepatutnya menjadi milik parti itu dalam PRU14.

Namun disebabkan PH berkerjasama dengan Bersatu pada waktu itu, dua kerusi yang sepatutnya ditandingi Amanah terpaksa diserahkan kepada parti berkenaan.

Penyandang kerusi Bandar Tun Razak pula kini tidak berada PH, jelasnya.

“Dua ini ialah kerusi Bersatu yang tidak bersama dengan kita sekarang. Kerusi Bandar Tun Razak pula penyandangnya Kamaruddin Jaafar telah keluar daripada PKR dan menyertai Bersatu.

“Jadi kami berhasrat untuk bertanding di kerusi Bandar Tun Razak kerana kerusi itu terbuka tiada dalam PH penyandangnya sekarang .

“Jadi permohonan yang ada sekarang ini bagi kita sangat rasional,” katanya.

Pada PRU14, PH memenangi 10 kerusi daripada 13 kerusi Wilayah Persekutuan.

Baki dua kerusi dimenangi oleh BN dan satu lagi kerusi, iaitu Batu dimenangi calon Bebas, Prabakaran Parameswaran yang kemudiannya menyertai PKR.

PH seterusnya hilang dua lagi kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan ekoran peralihan kerajaan menerusi Langkah Sheraton.

Kerusi Titiwangsa yang dimenangi Rina Harun merupakan kawasan majoriti Melayu seramai 70.49%, diikuti Cina 17.3% dan India 9.42%.

Di kerusi Bandar Tun Razak, penyandangnya Kamarudin Jaafar menang atas tiket PKR namun kemudian keluar dan menyertai  Bersatu.

Sama seperti Titiwangsa, majoriti pengundi Bandar Tun Razak terdiri dari pengundi Melayu seramai 61.08%, diikuti Cina 29.1% dan India 8.27%.

Di kerusi Putrajaya, calon Bersatu Samsu Adabi Mamat kalah kepada penyandang waktu ini daripada Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Mengulas lanjut Zaharuddin yang juga ketua kawasan Titiwangsa yakin PH akan menunaikan hasrat Amanah atas dasar semangat setiakawan kerjasama gabungan parti itu.

Malah tidak ada sebab PH menolak permintaan itu memandangkan ketika ini gabungan ini hanya terdiri dari tiga komponen parti sahaja.

“Pembahagian kerusi ini akan melambangkan kesepakatan dalam PH sendiri.

“PKR  ada kerusi sendiri yang tetap iaitu lima kerusi, DAP empat dan dulunya Bersatu dapat dua kerusi dan Amanah tidak dapat langsung kerusi.

“Dan sekarang dengan hanya tiga komponen parti, kami rasa ia perlu diambil secara serius. Lagipun Amanah tak minta untuk jumlah kerusi yang sama dengan lain.

“Tapi cukuplah dengan formula 3:4:5 kerusi setiap komponen dalam PH,” katanya.

Ditanya kekuatan Amanah di tiga kerusi ini, Zaharuddin berkata gerak kerja parti itu bermula sebelum PRU14 lagi.

Katanya, gerak kerja jentera Amanah inilah yang membantu kemenangan calon Bersatu, Rina Harun di kerusi Titiwangsa.

“Jentera Amanah melakukan gerak kerja sebelum PRU14 kerana kita memang ingat akan bertanding di kerusi ini sebelum terpaksa memberi laluan kepada Bersatu.

“Seperti contoh di Titiwangsa, Bersatu tidak ada jentera jadi mereka menggunakan jentera Amanah,” katanya.

Tambahnya lagi gerak kerja Amanah berterusan sehingga ke hari ini termasuk mengenal pasti masalah di kawasan tersebut.

Zaharuddin berkata isu miskin bandar menjadi isu utama dihadapi oleh penduduk di kawasan itu yang semakin terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.

“Jadi kita buat program untuk membantu dan kita pun ada tiga pusat khidmat di setiap kerusi ini. Biarpun PH bukan dalam kerajaan tapi kita cuba yang terbaik untuk membantu,” katanya.

Ketua Amanah Bandar Tun Razak, Hayatul Kamil juga yakin Amanah akan dapat mewakili kawasan itu dengan lebih baik sekiranya diberi peluang.

Ini kerana dalam tempoh dua penggal, dua wakil rakyat PKR lompat parti di kerusi tersebut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini kerusi Bandar Tun Razak ini kerusi panas sebab kejadian dua ahli Parlimennya yang lompat.

“Jadi ia alasan yang paling kuatlah untuk tukar giliran. Lagi pun PKR sudah banyak kerusi mereka dapat, jadi bagilah peluang kepada Amanah,” katanya.

Hayatul berkata kejadian wakil rakyat yang lompat parti menyebabkan kekecewaan kepada pengundi di kawasan itu.

Namun beliau menolak situasi itu akan menjejaskan sokongan sekiranya ditandingi Amanah dalam PRU15 kerana ia merupakan kerusi selesa PH.

“Sifat pengundi Bandar Tun Razak ini mereka antiestablishment atau antigolongan berkuasa jadi boleh katakan PH selesa di sini, dan sukar untuk tumbang.

“Kalau kita tengok dalam PRU14 pun PH menang dengan majoriti besar hampir 20,000 dari 83,650 pengundi berdaftar,” katanya.

Pada masa sama beliau menjangka jumlah pengundi Bandar Tun Razak akan bertambah sekitar 120,000 orang dalam PRU15.

Bagaimanapun Hayatul tidak melihat pengundi baharu atau daripada kalangan Undi18 akan berminat turun mengundi.

Beliau berkata golongan yang akan berminat turun mengundi tetap pengundi lama kerana mereka berdepan dengan banyak isu seperti peningkatan kos sara hidup dan masalah peluang pekerjaan.

“Isu miskin bandar adalah isu yang sangat menghimpit penduduk di sini. Tambahan pula Bandar Tun Razak ini paling banyak Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Jadi kita pun bagi pihak Amanah berkerjasama dengan badan bukan kerajaan sejak Oktober lepas buat sumbangan pemberian 100 ekor ayam dan 100 kilogram sayur,” katanya.

Mengulas lanjut, Hayatul berkata Amanah kawasan itu sebenarnya merancang untuk mewujudkan koperasi yang membolehkan penduduk mendapatkan barangan lebih murah.

Beliau berkata penubuhan koperasi itu jalan penyelesaian terbaik untuk membantu penduduk yang bergelut dengan kos sara hidup.

“Sebab itu harapan kita untuk Amanah dapat mewakili kerusi Bandar Tun Razak kerana jika kami menang insya Allah lebih mudah koperasi ini dilaksanakan,” katanya. – 30 Julai, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen