DAP terus kukuh di P. Pinang, kata pemerhati politik


Khoo Gek San

Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi negeri yang menjadi rebutan parti politik pada PRU15.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2022.

KETIKA MCA dan Gerakan mula bertapak untuk menjadi kuasa baharu di Pulau Pinang, penyandang di negeri itu, DAP bagaimanapun tidak bersedia untuk melepaskannya.

Pemimpin dari MCA dan Gerakan memberitahu The Malaysian Insight mereka akhirnya boleh menyingkirkan DAP daripada negeri itu pada pilihan raya umum akan datang selepas kehilangan kuasa pada 2008.

Ketika itu MCA dan Gerakan kedua-duanya berada dalam Barisan Nasional (BN), hari ini mereka berada dalam gabungan politik yang bertentangan - MCA masih bersama BN manakala Gerakan telah menyertai Perikatan Nasional (PN).

Seorang pemerhati politik bagaimanapun berkata, tidak mudah bagi MCA dan Gerakan untuk menyingkirkan DAP kerana pengundi tempatan masih menyokong parti sosialis itu.

Penolong profesor sains politik Universiti Islam Antarabangsa Dr Lau Zhe Wei berkata kegagalan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan tidak akan mencerminkan prestasi DAP di Pulau Pinang.

“Rakyat Pulau Pinang tidak begitu risau. Secara teorinya, mereka akan terus menyokong kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP,” katanya.

Beliau berkata kemenangan hebat BN dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor baru-baru ini tidak mungkin memberi kesan kepada pengundi Pulau Pinang.

Lau berkata DAP berjaya mengekalkan sokongannya di Melaka dan Johor di mana ia berkempen di kawasan bandar dengan majoriti pengundi Cina.

“Di Pulau Pinang, dengan lebih 50% pengundi Cina di 25 daripada 40 kerusi DUN, tidak mungkin pengundi Cina Pulau Pinang akan menarik balik sokongan mereka kepada Pakatan (DAP).

“Ini melainkan mereka merasakan DAP sedang teruk, walaupun kerajaan negeri baru-baru ini dikecam kerana salah menangani banyak isu, tetapi prestasi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sekarang, tidak terjejas.”

Beliau berkata pertukaran kerajaan di Pulau Pinang pada PRU15 tidak mungkin berlaku.

“Kemungkinan BN dan PN boleh mempengaruhi pengundi Melayu di Pulau Pinang tetapi mustahil untuk menggegarkan DAP.”

Bagaimanapun, kedua-dua MAC dan Gerakan yakin mereka boleh mendapatkan negeri itu pada PRU15 kepada pakatan masing-masing.

MCA telah melantik 30 penyelaras di Pulau Pinang - lapan untuk kawasan Parlimen dan 22 untuk kerusi negeri - untuk bekerja di lapangan dan membina rangkaian perkhidmatan bagi PRU15.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng berkata 80% daripada penyelaras adalah “muka baharu” (pemula politik).

Sementara itu Gerakan juga mengumumkan kumpulan pertama “jurucakap” untuk bekerja di lebih 13 kerusi DUN.

Timbalan presiden dan pengerusi negeri Oh Tong Keong berkata jurucakap ini adalah calon berpotensi, dan dipilih berdasarkan prestasi dan penerimaan pengundi.

Tidak mudah bagi MCA dan Gerakan untuk menyingkirkan DAP kerana pengundi tempatan masih menyokong parti sosialis itu. – Gambar EPA, 30 Julai, 2022.

Perebutan kerusi di kalangan pesaing

Tan daripada MCA berkata 30 penyelaras di pelbagai kawasan di Pulau Pinang dilantik pada awal tahun ini, walaupun bersetuju bahawa keputusan muktamad calon terserah kepada Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi.

“Kira-kira 80% daripada 30 penyelaras adalah muka baharu, di mana 70% daripadanya berumur di bawah 45 tahun. Kesediaan MCA rancangan ini untuk membenarkan belia mengambil alih kuasa,” katanya.

Tan berkata parti BN juga akan membahagikan kerusi yang ditandingi Gerakan pada pilihan raya umum lalu kerana parti itu tidak lagi berada dalam BN.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa MCA berkemungkinan bertanding di 20 kerusi DUN.

Pada 2018, MCA bertanding untuk empat Parlimen dan 10 kerusi DUN di Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh berkata mereka juga sedang melatih calon yang berpotensi.

“Kami belum bercakap mengenai peruntukan kerusi lagi, terpulang kepada kepimpinan untuk membuat keputusan dan kami akan mengumumkan butirannya apabila tiba masanya.”

Beliau mendedahkan Gerakan akan bertanding lebih banyak kerusi di Pulau Pinang kali ini berbanding PRU14.

Sumber berkata Gerakan dijangka bertanding di 16 hingga 17 kerusi DUN. Ia bertanding di 13 kerusi negeri dan empat kerusi persekutuan pada pilihan raya lalu.

Mereka menegaskan bahawa MCA dan Gerakan akan bersaing untuk mendapatkan set kerusi yang sama yang mempunyai lebih 60% pengundi Cina.

Pulau Pinang mempunyai 13 Parlimen dan 40 DUN.

Pakatan pimpinan DAP mempunyai 33 kerusi di DUN manakala Umno/BN mempunyai dua, dan Perikatan mempunyai lima ( Bersatu (4) dan PAS (1). – 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen