Pengkaji mahu jenama baharu Melayu kerana sinonim dengan rasuah


Mohd Farhan Darwis

Sidang meja bulat Penjenamaan Semula Politik Melayu berlangsung semalam perpendapat cendekiawan harus selesaikan imej politik Melayu yang dilihat sinonim dengan sikap korup dan tidak amanah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Julai, 2022.

PARA cendekiawan harus menyelesaikan imej politik Melayu yang dilihat sinonim dengan sikap korup dan tidak amanah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kelangsungan Melayu Nizam Mahshar.

Golongan itu juga harus menangani persepsi bahawa pemimpin politik Melayu sering menggunakan bangsa dan agama demi kepentingan peribadi mereka, katanya.

“Intelektual dan figura Melayu hari ini (perlu memikul) amanah yang lebih untuk turun dan menyedarkan orang Melayu untuk merubah pendirian dan sikap politik Melayu masa kini,” katanya.

Landskap dan pemimpin yang ada waktu ini tidak akan mampu menyelesaikan masalah orang Melayu, katanya dalam sidang meja bulat Penjenamaan Semula Politik Melayu semalam.

“Penjenamaan semula naratif politik Melayu harus digerakkan secara bersama untuk menjenamakan bangsa Melayu itu sendiri sebagai bangsa yang unggul dan wibawa.

“Kelangsungan bangsa Melayu perlu melalui proses pengukuhan, pentakrifan semula, dijenama baru atau bakal pupus ditelan zaman,” katanya.

Nizam juga berkata, komuniti Melayu di negara ini juga harus mengangkat pemimpin dari kalangan mereka yang bersih dan bebas daripada belenggu dan bebanan berbanding pemimpin sedia ada.

“Dalam konteks penjenamaan naratif politik, ia harus bermula dengan pencarian dan mengangkat pemimpin Melayu dan politik yang wibawa,” katanya.

Ucapan itu menggulung persidangan yang membariskan pembentangan lapan kertas kerja dari para pemikir meliputi subjek politik, ekonomi, sosiologi, pendidikan, media dan kepemimpinan.

Antaranya dari profesor sejarah sosial dan intelektual Ahmad Murad Merican yang turut menegaskan kata Melayu itu sendiri perlu dijenamakan semula bagi mengelak terkait dengan budaya korup.

“Dengan nilai apakah orang-orang Melayu mahu dikaitkan? Amat wajar orang-orang Melayu dijenamakan semula.

“Istilah Melayu menjadi satu perkataan yang diperlekehkan, diremehkan, dibencikan, dan dihina. Menjadi Melayu ialah menjadi manusia yang negatif, malas, perasuah, hipokrit, rasis dan sebagainya, semua ini mesti diubah.

“Imej Melayu mesti berubah seiring dengan budaya dan gelagat politik Melayu, penjenamaannya juga perlu pada peringkat antarabangsa,” kata pengkaji Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) itu.

Seorang lagi pembentang, Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya menyatakan orang Melayu harus mengubah pendirian dan sikap mereka dengan mengamalkan politik baharu.

Orang Melayu juga katanya harus menolak politik murahan dan budaya korupsi dengan kembali semula kepada nilai-nilai sebenar Melayu.

Beliau menyebut, kesatuan besar itu penting kerana parti kecil seperti Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad tidak mampu mengubah minda masyarakat Melayu dalam sekelip mata.

“Pejuang dan parti-parti kancilan Melayu yang lain jauh dari mampu untuk menukar minda Melayu dan merubah politik orang Melayu atau mengangkat satu kerajaan Melayu baharu yang berintegriti, bermaruah dan berkebolehan.

Ia perlu melibatkan semua pihak termasuk NGO Melayu, intelektual, profesional, pendidik dan asatizah, serta orang Melayu yang mahu menegakkan kebenaran dan keadilan, katanya.

Sekiranya itu berlaku, satu gagasan politik dan kerajaan yang stabil dapat dibentuk demi mengangkat darjat dan maruah orang Melayu, katanya.

“Politik Melayu yang stabil, baik dan berintegriti juga mampu menjamin kebaikan dan keadilan kepada semua rakyat tidak mengira bangsa, agama dan geografi,” tambahnya.

Turut membentang  Mohammad Danial Azman, Amir Jumaat, Mohd Roslan Rosnon dan Mansor Mohd Noor, Anuar Ahmad, Ahamed Kameel Mydin Meera, Hamidin Abd Hamid.

Sidang meja bulat itu membariskan resolusi yang menegaskan penjenamaan semula naratif politik Melayu penting dalam mengubah nasib buruk komuniti berkenaan.

Ia turut menuntut orang Melayu harus dididik dan disedarkan segera untuk mengubah pendirian politik mereka untuk menolak pemimpin Melayu durjana dan memilih pemimpin politik yang baik.

Sidang berkenaan turut menyaksikan penubuhan kumpulan tokoh Melayu dinamakan Forum Melayu Kebangsaan (Forum) yang bertujuan membawa gelombang kesedaran dan perubahan kepada komuniti Melayu.

Mantan perdana menteri yang juga pengerusi parti Pejuang Dr Mahathir diangkat sebagai penaung yang berperanan sebagai pemandu dan penasihat kumpulan terbabit.

Beliau turut menyampaikan ucaptama sebelum sidang meja bulat itu berlangsung.

Ahmad Murad Merican pula dilantik sebagai jurucakap forum. – 29 Julai, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen