PERUBAHAN iklim disebabkan oleh aktiviti manusia menyaksikan gelombang haba di Britain meningkat sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi, menurut penyelidikan yang dikeluarkan pada Jumaat.
England Timur merekodkan suhu tinggi berterusan 40.3 darjah Celsius dan cuaca panas itu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan puluhan rumah di London.
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain mencatat rekod tertinggi pada 20 Julai, apabila gelombang panas memuncak di Eropah barat.
Pasukan penyelidik antarabangsa berkata kejadian cuaca panas melampau seperti itu berlaku seperti sebelum era perindustrian bermula pada pertengahan abad ke-19.
Mereka kemudian membandingkan kemungkinan ini dengan gelombang haba yang berlaku dalam iklim semasa—iaitu, dengan purata planet hampir 1.2 darjah Celsius lebih panas berbanding zaman pra-industri.
Mereka memberi tumpuan kepada suhu maksimum di wilayah Britain paling terjejas—tengah England dan timur Wales—dan mendapati haba yang memecahkan rekod itu sekurang-kurangnya mungkin 10 kali lebih tinggi disebabkan oleh gas rumah hijau dihasilkan manusia yang menyebabkan pemanasan global.
Kajian itu mendapati kejadian haba melampau di seluruh Eropah meningkat lebih daripada yang dianggarkan oleh model iklim.
Model janaan komputer menganggarkan pelepasan gas rumah hijau meningkatkan suhu dalam gelombang haba Julai sebanyak 2 darjah Celsius. Tetapi sebenarnya, gelombang haba adalah 4 darjah Celsius lebih panas berbanding tanpa pemanasan buatan manusia.
“Di Eropah dan bahagian lain di dunia kita lihat semakin banyak gelombang haba yang memecahkan rekod menyebabkan suhu melampau menjadi lebih cepat berbanding kebanyakan model iklim,” kata Friederike Otto, pensyarah kanan dalam sains iklim di Imperial College London’s Grantham Institute bagi Perubahan Iklim.
“Ia adalah penemuan membimbangkan yang menunjukkan jika pelepasan karbon tidak dikurangkan dengan cepat, kesan perubahan iklim pada haba melampau di Eropah, yang sudah sangat mematikan, boleh menjadi lebih buruk daripada yang kita fikirkan sebelum ini.”
Pada tahun 2020 saintis di Pejabat MET Britain mengira kemungkinan suhu melebihi 40 darjah Celsius dalam iklim semula jadi—yang tiada pemanasan disebabkan oleh manusia—menjadi kira-kira satu dalam 1,000 tahun.
Hari ini anggaran itu berada pada satu dalam 100 tahun tetapi saintis yang terlibat dalam kajian itu berkata cuaca ekstrem yang diperhatikan berlaku lebih cepat daripada yang diramalkan oleh model.
“Walaupun dengan anggaran konservatif, kami melihat peranan besar perubahan iklim dalam gelombang haba UK,” kata Mariam Zachariah, sekutu penyelidik di Institut Grantham.
“Di bawah iklim semasa kita yang berubah oleh pelepasan gas rumah hijau, ramai orang mengalami peristiwa seumur hidup yang hampir mustahil sebelum ini. Dan semakin lama kita mengambil masa untuk mencapai sifar bersih, semakin teruk gelombang haba akan berlaku.” – AFP, 29 Julai, 2022.
Komen