Penunjuk perasaan Argentina tuntut gaji universal


Argentina dicengkam krisis ekonomi yang ditandai dengan inflasi yang melambung tinggi dengan penurunan nilai mata wang yang pantas. – Gambar EPA, 29 Julai, 2022.

PERIBU-RIBU rakyat Argentina yang membuat protes di Buenos Aires pada Khamis, menuntut “gaji universal” di negara yang dilanda krisis.

Penunjuk perasaan berkumpul di luar istana presiden, tempat presiden haluan kiri tengah Alberto Fernandez bertemu menteri ekonominya Silvina Batakis, yang menentang idea sedemikian, kerana khabar angin bertiup kencang rombakan kabinet akan berlaku.

“Kemiskinan telah menguasai negara,” kata Monica Sulle, seorang pemimpin Pergerakan Pekerja Sosialis (MST), kepada AFP.

Argentina dicengkam krisis ekonomi yang ditandai dengan inflasi yang melambung tinggi dengan penurunan nilai mata wang yang pantas.

Kumpulan radikal berhaluan kiri yang rapat dengan gabungan pemerintah Frente de Todos (Barisan Semua Orang) sejak berminggu-minggu menuntut gaji universal.

Mereka marah kepada kerajaan kerana keadaan sosial yang semakin merosot dihadapi rakyat Argentina.

Penunjuk perasaan mahukan gaji sara hidup minimum bernilai 67,000 peso (sekitar AS$490 pada kadar pertukaran rasmi), yang berjumlah kos dua bakul makanan asas, untuk golongan berpendapatan terendah di negara itu.

Kira-kira 37 peratus daripada 45 juta penduduk Argentina hidup dalam kemiskinan, manakala inflasi bagi separuh pertama tahun ini melebihi 36 peratus. – AFP, 29 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen