Estonia sekat visa pelajar Rusia


Menteri Luar Estonia Urmas Reinsalu mengumumkan sekatan terhadap warga Rusia yang mendapat permit visa belajar di negaranya, percaya sekatan terhadap Moscow akan bantu hentikan pencerobohan Kremlin di Ukraine. – Gambar EPA, 29 Julai, 2022.

ESTONIA pada Khamis berkata ia akan menghalang warga Rusia daripada mendapatkan permit kediaman sementara atau visa untuk belajar di Estonia.

“Kesinambungan sekatan terhadap Rusia adalah penting untuk memastikan tekanan berterusan ke atas negara itu,” kata Menteri Luar Urmas Reinsalu dalam satu kenyataan.

“Jika sekatan membantu menghentikan pencerobohan Rusia, akan beri kesan positif terhadap keselamatan kita sendiri,” katanya.

Estonia juga berkata pekerjaan jangka pendek warga Rusia dan Belarus dengan permit kediaman sah yang dikeluarkan oleh negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang lain tidak akan dibenarkan lagi.

Reinsalu berkata langkah tambahan ini bertujuan memastikan rakyat Rusia dan Belarus tidak boleh memintas sekatan dengan mendapatkan visa jangka pendek untuk negara lain.

Sekutu Kremlin, Belarus telah memudahkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan membenarkan tentera Rusia menyerang masuk melalui wilayahnya. – AFP, 29 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen