Gerakan mahu guna logo sendiri bertanding PRU15


Khoo Gek San

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Teong Kong berkata Gerakan dikenali ramai di negeri itu, dan logo PN yang hampir sama warna dengan BN bakal kelirukan pengundi. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Julai, 2022.

BERTANDING menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan memberi kelebihan kepada Gerakan, kata Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Teong Kong.

Pasca PRU14, Gerakan keluar Barisan Nasional (BN) dan menyertai PN, tetapi ramai penyokongnya yang masih tidak sedar tentang perkembangan itu, kata Oh.

“Hingga hari ini, masih ramai tidak tahu kita sudah keluar daripada BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Oh berkata Gerakan yang wujud di Pulau Pinang sejak 54 tahun lalu, amat dikenali dalam kalangan rakyat, tetapi mereka mungkin tidak tahu PN, gabungan yang boleh dianggap masih baru.

Tambahan pula, warna PN juga hampir serupa dengan BN, katanya.

“Cadangan kami ialah mencadangkan kepada kepimpinan PN kami mahu gunakan logo sendiri bagi meningkatkan peluang untuk menang.”

Beliau berkata pada masa ini pengundi muda dimasukkan ke daftar undi secara automatic, masih tidak jelas sama ada mereka betul-betul peduli tentang politik dan pendirian Gerakan.

“Selepas 2018, kami mendapati pengundi Cina mula untuk semakin peduli dengan politik kerana mereka lihat sendiri perubahan dalam negara.

“Sebelum dari itu, hanya dua atau tiga pengundi Cina daripada 10 rakyat Malaysia yang peduli, sementara selebihnya orang Melayu lebih ambil peduli tentang politik.

Oh berkata masyarakat awam juga keliru tentang perbezaan antara ketua menteri dan gabenor, menambah ada yang menganggap Pengerusi DAP Lim Guan Eng adalah gabenor.

Awal bulan ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata PN akan memperkenalkan logo baharu untuk PRU15.

Oh berkata logo baharu itu akan didedahkan penghujung Ogos.

Kerajaan negeri Pulau Pinang jual aset awam

Oh berkata dalam tempoh 14 tahun DAP memerintah Pulau Pinang, parti itu tidak buat apa pun kecuali menampilkan agenda populis, mencetuskan kebencian dan mencari sokongan pengundi Melayu.

Beliau turut mendakwa kerajaan negeri DAP menjual tanah.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mendedahkan kerajaan negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang menjual 1,100 ekar tanah bernilai RM12.5 bilion sejak 2011.

Lim menjual tanah bagi tujuan pembangunan ekonomi, tetapi Chow berbuat demikian untuk menyemak semula ekonomi negeri, kata Oh.

Beliau juga kesal suara parti pembangkang di negeri itu lemah dan pengundi di Pulau Pinang pula terus-menerus berpihak kepada DAP.

Sekarang, rakyat Pulau Pinang akhirnya sedar dan melihat rasuah dilakukan DAP dan Pakatan Harapan, katanya.

Tetapi pengundi menolak Gerakan pada 2018 kerana mereka mahu melihat perubahan dalam kerajaan dengan tidak mengundi BN, katanya.

“Sepanjang 39 tahun Gerakan memimpin Pulau Pinang, tidak pernah seorang pun pemimpinnya dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata Oh.

“Kami bangga dengan hakikat itu. Bekas ketua menteri Lim Chong Eu dan Koh Tsu Koon banyak membantu dalam mencipta peluang pekerjaan.

“Mereka juga mewujudkan pelbagai industri dan membina jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang.” – 29 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen