Tiada kumpulan rekrut warga Filipina keturunan Sulu di Lahad Datu, kata polis 


SIASATAN dan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada kumpulan tertentu bergiat merekrut rakyat Filipina berketurunan Sulu di negeri Sabah, kata Pesuruhjaya Polis Sabah  Idris Abdullah.

Beliau berkata PDRM memandang serius dakwaan tular di media sosial kononnya Kumpulan Sulu aktif merekrut rakyat Filipina di Lahad Datu bagi tujuan tertentu.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak atau individu supaya tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Bagaimanapun, katanya PDRM sedang menjalankan siasatan mengenai satu kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniyah Darul Islam dengan mengenakan bayaran tertentu di negeri ini.

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dilakukan seorang individu yang bertindak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan Setiausaha Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Hishamuddin Hashim mendakwa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan pihak tertentu untuk merekrut warga tempatan di Lahad Datu dengan pemberian dokumen diri berkaitan Kumpulan Sulu. – Bernama, 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen