Forum mahu ubah naratif politik Melayu pemalas, bebal


Mohd Farhan Darwis

Forum Melayu Kebangsaan melantik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai penaung yang berperanan sebagai pemandu dan penasihat badan tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Julai, 2022.

SEKUMPULAN pengkaji dan cendekiawan melancarkan badan pemikir baharu Forum Melayu Kebangsaan (Forum) yang diumumkan bertujuan mengubah naratif politik komuniti itu.

Kenyataan Forum menyebut, perspektif masyarakat yang kini diasak dengan propaganda negatif terhadap orang Melayu harus diperbetulkan.

“(Menjadi Melayu itu) dilihat terkebelakang, lemah, kekal pemalas, bodoh dan bebal yang akhirnya menyebabkan orang Melayu apologetik atau malu pada bangsa sendiri.

“Persepsi berkenaan politik orang Melayu hari ini pula dilihat seolah-olah kita tiada pilihan selain menjadi orang yang korup, dinaungi politik wang dan projek dan tidak kompeten dan cekap dalam menguruskan negara,” kenyataan badan itu dipetik.

Mereka berhasrat memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap sistem politik yang berintegriti, bermaruah dan bersih.

“Kita bertekad untuk menolak sebarang hubungan dan usaha mengekalkan politik korup, tidak beramanah, tidak cekap, yang akan memperjudikan nasib dan masa depan bangsa Melayu.”

Jawatankuasa penaja itu menyebut usaha menangani kelemahan kepemimpinan negara di kalangan orang Melayu itu kunci utama bagi menyelesaikan isu dihadapi negara.

“Hanya orang Melayu yang mampu merubah dan menentukan masa depan yang lebih baik untuk orang Melayu,” kata mereka.

Forum melantik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai penaung yang berperanan sebagai pemandu dan penasihat badan tersebut.

Pengerusi Pejuang itu juga tampil menyampaikan ucaptama di persidangan meja bulat badan itu yang bermula pagi ini di Seri Kembangan.

Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) Ahmad Murad Merican pula dilantik sebagai jurucakap Forum.

Badan berkenaan berusaha menghimpunkan cendekiawan dan intelektual rakyat dari pelbagai disiplin dan gender untuk menjalankan wacana bagi melaksanakan perubahan sosial dan politik ini.

Dalam persidangan pagi ini, lapan kertas kerja dibentangkan meliputi subjek politik, ekonomi, sosiologi, pendidikan, media dan kepemimpinan.

Ia antara lain menampilkan pengkaji Dr. Mohammad Danial Azman dan Amir Jumaat, Dr Mohd Roslan Rosnon dan Prof Mansor Mohd Noor.

Turut membentang Dr Anuar Ahmad, Prof Ahamed Kameel Mydin Meera, Dr Hamidin Abd Hamid dan Marzuki Yahya. – 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen