CHINA terus mengoptimumkan kolaborasi dalam sektor tenaga dengan negara-negara lain sekali gus menyaksikan industri fotovolta (PV) negara ini mampu menyumbang lebih 70 peratus komponen untuk pasaran global.
Demikian kata Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Tenaga Negara (NEA), Zhang Jianhua pada Rabu ketika mengulas mengenai usaha China mempercepat pembangunan tenaga sambil memastikan keselamatan tenaga.
Menyentuh tentang keberhasilan bidang berkenaan, Zhang berkata kerjasama tenaga di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) terus dipergiat dan diperkasa.
Menurutnya, mesyuarat menteri-menteri tenaga BRI dianjurkan dengan jayanya sebanyak dua kali iaitu di Suzhou dan Qingdao, di samping mengesyorkan pembentukan perkongsian tenaga BRI yang jumlah negara anggotanya kini mencecah 33.
“China turut membina mekanisme kerjasama tenaga antara kerajaan dengan lebih 50 negara dan wilayah, selain menjalin ikatan kerjasama dengan lebih 30 organisasi tenaga antarabangsa dan mekanisme multilateral yang berkaitan,” katanya.
Difahamkan, China turut menggerakkan kerjasama melibatkan projek tenaga hijau dengan lebih 100 negara dan wilayah, sekali gus menjadikan usaha sama membangunkan BRI turut menerapkan konsep hijau.
Berkat daripada usaha itu menyaksikan eksport peralatan teknologi kuasa nuklear yang dibangunkan China seperti Hualong One atau juga dikenali sebagai HPR1000 mencapai kemajuan manakala teknologi penghantaran arus terus voltan ultra tinggi (UHVDC) diguna pakai di negara asing.
Seiring dengan kesalinghubungan infrastruktur membabitkan minyak, gas dan elektrik dengan negara-negara jiran, pengaruh China dalam arena tenaga antarabangsa terus meningkat.
Ia secara tidak langsung memberikan sumbangan penting dalam menggalakkan pembangunan mampan tenaga sejagat serta membina dunia yang lebih bersih serta indah. – Bernama, 28 Julai, 2022.
Komen