Sukar tunai janji tanpa sokongan majoriti Melayu, kata Pejuang


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata hanya sokongan majoriti sahaja akan dapat memastikan parti memerintah dapat melaksana dasar dijanjikan kepada pengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Julai, 2022.

PARTI politik Melayu sukar melaksana dasar dan menunaikan janji jika tidak dapat meraih sokongan majoriti pengundi dari kaum itu, kata Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, hanya sokongan majoriti itu sahaja yang akan dapat memastikan parti memerintah dapat melaksana dasar dijanjikan kepada pengundi.

“Dalam demokrasi kita terkongkong oleh rakyat kerana rakyat tentukan siapa akan memerintah.

“Kalau dibuat tak disukai rakyat kita tak jadi pemerintah dan tak dapat lakukan apa yang kita janjikan,” katanya dalam persidangan meja bulat Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu.

Jelasnya, walaupun membentuk blok pengundi yang besar, sokongan di kalangan orang Melayu pula berpecah menjadi lebih kecil pada waktu ini.

“Di Malaysia, walaupun majoriti Melayu, katanya 70% tapi terbahagi empat, lima parti. Masing-masing kecil belaka, tak dapat sokongan daripada 70%.

“Kalau dapat sokongan 70% Melayu kita tak takut dijatuhkan. Tapi kita tak dapat 70%, kita dapat antara 30% hingga 20% sokongan kerana dibahagi sokongan rakyat Melayu antara empat ke lima parti.

“Jadi kita sengaja lemahkan diri kita,” katanya dalam persidangan di Seri Kembangan itu.

Parti Pejuang pimpinannya merupakan salah satu parti kecil mewakili orang Melayu yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke-15.

Pejuang merupakan serpihan parti Bersatu, parti yang dipimpinnya untuk menentang Umno dalam pilihan raya umum 2018.

Lapan kertas kerja dibentangkan para cendekiawan dalam sidang meja bulat hari ini mencakupi subjek politik, ekonomi, sosiologi, pendidikan, media dan kepemimpinan.

Ia antara lain menampilkan pengkaji Dr. Mohammad Danial Azman dan Amir Jumaat, Dr Mohd Roslan Rosnon dan Prof Mansor Mohd Noor.

Turut membentang Dr Anuar Ahmad, Prof Ahamed Kameel Mydin Meera, Dr Hamidin Abd Hamid, Prof Ahmad Murad Merican dan Marzuki Yahya. – 28 Julai, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen