Tutup sekolah vernakular tak jamin sekolah kebangsaan berjaya, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata usaha perlu ditumpukan untuk tingkatkan mutu sekolah kebangsaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Julai, 2022.

PENUTUPAN sekolah vernakular hanya akan menimbulkan isu politik dan tidak menjanjikan kejayaan untuk sekolah kebangsaan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, perhatian perlu ditumpukan untuk meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan, kata ahli Parlimen Langkawi itu.

“Di sekolah Cina atau Tamil apa yang mereka boleh lakukan, bukan boleh menolong kejayaan kita, kalau mereka ada kita tak berjaya kalau mereka tidak ada pun kita tak berjaya.

“Apa yang didahulukan, apa yang boleh dibuat keutamaan adalah kita perbaiki sistem pelajaran kita dalam pendidikan kebangsaan.

“Soal ada atau tidak sekolah Cina dan lain-lain itu bukan keutamaan kita, sebaliknya ia akan menimbulkan macam-macam masalah politik,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas isu kewajaran memansuhkan sekolah vernakular dalam sesi soal jawab di persidangan meja bulat Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu.

Soalan itu timbul susulan seruannya terdahulu dalam ucap tama di persidangan itu supaya orang Melayu menilai dan mengubah diri sendiri sebelum menggesa orang lain untuk berubah.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyarankan supaya memperbaiki sekolah kebangsaan terlebih dahulu berbanding menutup sekolah vernakular.

“Nak lakukan itu bukan mudah (tutup sekolah vernakular), tapi kalau tanya diri kita di mana kita salah, lebih mudah kita betulkan diri kita dahulu,” katanya.

Pengerusi parti Pejuang itu berkata penuntut bukan Melayu dengan sendirinya akan tertarik untuk menyertai sekolah kebangsaan jika ia menawarkan pendidikan bermutu tinggi.

“Kalau tumpu perbaiki sistem pelajaran sekolah kebangsaan saya yakin kita akan keluarkan penuntut bukan sahaja berilmu tapi tahu cara gunakan ilmu.

“Kita boleh tutup sekolah Cina tapi kalau sekolah kita tak baik tetap tak baik, kita masih di tahap itu sedangkan mereka ada cara teruskan pelajaran dalam bahasa mereka.

“Sekarang mereka boleh ke negara China belajar di sana. Kalau kita tutup tak bermakna mereka dah kalah dengan kita, yang boleh beri kemenangan kepada kita adalah perbaiki sistem pelajaran kita.”

Dr Mahathir turut ditanya mengenai sekolah wawasan menggabungkan tiga jenis sekolah di dalam satu kawasan yang pernah dicadangkannya sewaktu menjadi perdana menteri.

Beliau yakin sekolah wawasan dapat memupuk perpaduan sekiranya dapat dilaksana, namun pada masa sama percaya sekolah kebangsaan juga mampu berbuat demikian jika mutunya ditingkatkan.

“Sekolah wawasan itu hanya ada satu kampus dan tiga jenis sekolah. Sekurang-kurangnya penuntut dapat bersama di perhimpunan mendengar tajuk yang sama, itu permulaan.

“Jika sekolah kebangsaan ini begitu baik, saya yakin kalau mereka begitu baik Cina pun pergi,” katanya. – 28 Julai, 2022.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen