Jawatankuasa khas syor KKM tangguh generasi penamat rokok


Raevathi Supramaniam

JAWATANKUASA Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Teknologi Parlimen mengesyorkan agar generasi penamat rokok (GEG) yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ditangguhkan dahulu bagi memperkukuh persiapan sebelum pelaksanaannya.

Pengerusi jawatankuasa Dr Kelvin Yii berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Cadangan utama kami, tangguhkan pelaksanaan GEG untuk tiga tahun bagi mengukuhkan persiapan pelaksanaan, termasuk menyediakan rangka kerja penguatkuasaan antara kerajaan yang betul. Ini bermaksud GEG akan terlaksana buat individu yang lahir selepas 2008,” kata Yii dalam satu kenyataan.

Beliau berkata klausa yang membenarkan dua penilaian wajib oleh jawatankuasa pilihan juga perlu dimasukkan dalam RUU itu.

“Laporan Penilaian Mandatori yang dibuat dalam jawatankuasa pilihan khas ini kemudiannya perlu dibawa ke Parlimen dalam bentuk usul perbahasan dan diundi.”

Yii berkata tempoh tiga tahun itu akan membolehkan kerajaan menilai kesediaannya untuk melaksanakan larangan secara generasi dan keberkesanannya.

Ia juga akan membolehkan kerajaan membuat peraturan berasingan untuk mengawasi produk tembakau tidak mudah terbakar, produk tembakau mudah terbakar dan rokok elektronik (vape), kata Yii.

“Parameter penilaian hendaklah dipersetujui dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.

“Pelaksanaan penuh GEG hanya akan dilakukan selepas penilaian mandatori dibahaskan di Parlimen.”

Yii berkata terdapat juga keperluan untuk tempoh penilaian 10 tahun sebaik sahaja Akta itu berkuat kuasa.

Ini adalah untuk menganalisis tahap pematuhan dan sama ada Akta tersebut mencapai objektifnya.

Yii berkata, jawatankuasa juga tidak bersetuju dengan hukuman yang disyorkan untuk juvana.

Berbanding penjara, Yii berkata juvana perlu diberi khidmat masyarakat, kaunseling dan denda.

“Kami juga prihatin dengan isu kuasa penguatkuasaan dalam RUU itu sendiri terutama melibatkan juvana dan juga kanak-kanak.

“Kuasa untuk memeriksa, kemungkinan periksa badan dan menghukum kanak-kanak kerana memiliki perlu dikawal ketat bagi mengelakkan penderaan.

“Sebab itu garis panduan penguatkuasaan mestilah sangat jelas dan khusus mengenai perkara ini bagi memastikan golongan yang terdedah tidak menjadi mangsa undang-undang, terutamanya golongan miskin.

“Jadi kami berharap menteri dan Kementerian Kesihatan akan memasukkan cadangan kami dan menjawab kebimbangan kami untuk mengukuhkan kemungkinan sokongan dua parti untuk RUU itu.”

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu diperkenalkan antara lain untuk melaksanakan generasi penamat rokok yang akan melarang penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas tahun 2007.

Jika ia diluluskan sebagai undang-undang, mereka yang lahir mulai 1 Jan 2007 boleh didenda sehingga RM5,000 jika mereka membeli, merokok atau memiliki produk berkaitan tembakau seperti rokok atau produk vape.

Dan mana-mana orang yang ditangkap menjual tembakau atau produk vape kepada mereka yang lahir mulai 1 Januari 2007 boleh didenda sehingga RM20,000 dan/atau penjara sehingga setahun bagi kesalahan pertama, diikuti denda sehingga RM30,000 dan/ atau dipenjarakan sehingga dua tahun untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang ditangkap berbuat demikian akan dikenakan denda sekurang-kurangnya RM20,000 — tetapi tidak melebihi RM100,000 — dan/atau wakilnya boleh dipenjara sehingga dua tahun bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, syarikat boleh didenda sekurang-kurangnya RM50,000 — tetapi tidak melebihi RM300,000 — dan/atau wakilnya boleh dipenjara sehingga tiga tahun.

Rang undang-undang itu juga menetapkan bahawa merokok di kawasan atau tempat larangan merokok adalah dilarang, dan pesalah boleh didenda sehingga RM5,000.

Sementara itu, polis diberi kuasa untuk memasuki premis untuk mengambil sampel untuk siasatan, selain diberi kuasa untuk membuka apa-apa bagasi, bungkusan, atau apa-apa bentuk bekas dan boleh memeriksa apa-apa produk tembakau, bahan penghisap, produk tembakau gantian, alat merokok atau yang lebih kurang sama. – 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen