LEBIH KURANG lima peratus orang yang menghidap Covid-19 mengalami masalah hilang deria bau dan rasa berpanjangan, menurut sebuah kajian pada Khamis.
Hilang deria bau telah menjadi ciri dijangkiti koronavirus sejak awal pandemik, tetapi tidak jelas berapa kerap gejala seperti ini berlaku atau berapa lama ia bertahan.
Bagi mendapatkan jawapannya, para penyelidik menganalisis penemuan 18 kajian terdahulu melibatkan 3,700 pesakit.
Dalam kajian baharu yang diterbitkan dalam BMJ, mereka mendapati enam bulan selepas dijangkiti virus itu, empat peratus pesakit masih belum pulih deria bau, manakala dua peratus tidak pulih deria rasa mereka.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada ini mewakili pemulihan penuh atau sebahagian.
Para penyelidik menganggarkan kehilangan deria bau mungkin berterusan terhadap 5.6 peratus pesakit, manakala deria rasa bagi 4.4 peratus mungkin tidak pulih sepenuhnya.
Seorang wanita memberitahu penyelidik dia deria baunya hilang dan tidak pulih selepas dua tahun dijangkiti Covid.
Para penyelidik berkata walaupun kebanyakan pesakit akan pulih deria bau dan rasa mereka dalam tempoh tiga bulan pertama selepas dijangkiti Covid, “sekumpulan besar pesakit mungkin mengalami masalah berpanjangan yang memerlukan pengenalan tepat pada masanya, rawatan yang diperibadikan, dan tindak lanjut jangka panjang.”
Danny Altmann, pakar imunologi di Imperial College London yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu, berkata ia adalah “kajian yang kuat dan penting”.
“Kajian seperti ini menyedarkan kita tentang beban tersembunyi di luar sana bagi orang yang mengalami gejala berterusan, tetapi mungkin tidak fikir ia berbaloi untuk menghubungi pengamal perubatan dengan andaian tidak banyak yang boleh dibuat,” katanya.
Kajian itu juga mendapati wanita lambat pulih deria mereka berbanding lelaki.
Punca perbezaan tidak jelas, tetapi para penyelidik mencadangkan wanita cenderung mempunyai deria bau dan rasa yang lebih baik, bermakna mereka mempunyai lebih banyak kerugian.
Data itu tidak termasuk varian Covid yang dijangkiti pesakit. Penyelidikan terdahulu menunjukkan varian Omicron yang lebih terkini kurang berkemungkinan membawa kepada kehilangan bau. – AFP, 28 Julai, 2022.
Komen