BERPULUH pegawai polis telah terbunuh, dan puluhan yang lain cedera akibat serangan Gulf Clan, kumpulan dadah paling berkuasa di Colombia.
Kumpulan itu telah menyemai keganasan di negara itu sejak Mei, apabila ketuanya Dario Antonio Usuga, yang dikenali sebagai “Otoniel,” diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk berhadapan tuduhan pemerdagangan.
Namun serangan semakin meningkat baru-baru ini apabila Colombia menghampiri peralihan kuasa pada 7 Ogos daripada presiden konservatif Ivan Duque kepada bekas gerila kiri Gustavo Petro.
Gustavo berikrar untuk berunding dengan kumpulan penjenayah dalam usaha untuk menamatkan konflik berdekad-dekad sebagai pertukaran dengan sekatan yang lebih ringan.
“Mereka (melakukan serangan) dengan niat utama meletakkan diri mereka dalam rundingan politik. Ini tidak boleh diterima,” kata Menteri Pertahanan Diego Molano.
Sejak awal tahun, 25 pegawai polis telah dibunuh oleh Gulf Clan, hampir separuhnya pada bulan lalu, menurut pegawai. 60 lagi pegawai telah cedera dalam berpuluh-puluh serangan menggunakan senjata api dan bahan letupan.
Tiga pegawai polis terbunuh minggu ini dalam serangan berasingan oleh anggota kumpulan yang disyaki, menurut pegawai.
“Mereka menyerang pegawai rondaan dari belakang… ia tidak boleh diterima,” kata Molano.
Para pegawai berkata, Gulf Clan, yang terdiri daripada bekas anggota separa tentera haluan kanan, telah melancarkan “mogok bersenjata” berikutan ekstradisi Otoniel.
Menurut polis, Gulf Clan menawarkan antara AS$1,000 dan AS$5,000 untuk setiap pembunuhan anggota pasukan keselamatan.
Ini adalah taktik yang hampir sama dengan mendiang raja kokain Pablo Escobar pada 1990-an sebagai sebahagian daripada “pelan pistol” perang terbukanya terhadap negara.
Sekurang-kurangnya lima anggota Gulf Clan telah terbunuh dan sedozen ditangkap dalam serangan balas polis. – AFP, 28 Julai, 2022.
Komen