Tak percaya, tak rasa kesan buat penduduk Johor tolak China, raikan Singapura


Chan Kok Leong

Walaupun berbilion ringgit dilabur China di Johor, penduduk negeri itu masih belum menerima kesan positifnya dan lebih sukakan pelaburan dari Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

APABILA menyentuh soal pelaburan asing, nampaknya bukan semua wang itu serupa di mata rakyat Johor.

Meskipun ratusan billion ringgit dilaburkan dalam pembangunan hartanah di Johor, rakyat tempatan melihat kehadiran semakin pesat pelaburan China di negeri itu dengan rasa tidak senang, lebih gemarkan pelaburan dari jiran sebelahnya, Singapura.

Salah satu sebabnya adalah tiadanya hubungan antara pelaburan berbilion ringgit dalam pembangunan hartanah di lakukan China dan kesannya ke atas kehidupan seharian mereka.

“Kesan di Johor daripada pelaburan China dalam pasaran hartanah tempatan tidak seperti yang berlaku di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor,” kata eksekutif Zayani Ismail, 32 tahun.

“Kami tak rasa kesan positifnya,” katanya.

“Satu-satunya perkara yang timbul adalah ia menaikkan harga pasaran hartanah negeri, menjadikan orang seperti saya lebih sukar untuk beli rumah di Johor Bahru,” katanya walaupun mengakui rata-rata penduduk Johor mengalu-alukan pelaburan asing.

Pandangan Zayani mencerminkan penemuan kajian dilaksanakan bulan lepas oleh Merdeka Centre for Opinion Research yang mendapati hanya 56% daripada 1,007 responden di Johor menggemari pelaburan dari China berbanding 69% yang sukakan pelaburan Singapura.

Kajian juga menunjukkan ketidakpuasan hati kepada pelaburan China lebih tinggi iaitu sebanyak 29% berbanding 18% untuk pelaburan dari Singapura.

Pelaburan gergasi hartanah China, Country Garden Pacific View (CGPV) di Forest City sahaja dinilaikan sebanyak RM444 bilion. Pelaburan CGPV yang lain di Johor termasuklah Danga Bay dan Central Park.

Ketidakpuasan hati terhadap pelaburan China sangat berbeza dengan pembangunan Pasir Gudang sekitar tahun 1980-an oleh syarikat Singapura atau syarikat asing berpangkalan di Singapura, kata Felo Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute Dr Francis E Hutchinson.

Pelaburan itu diterima baik oleh penduduk tempatan kerana dilihat memberikan manfaat langsung kepada penduduk Johor, katanya.

“Kawasan Pasir Gudang, misalnya membangun sepanjang 1980-an disebabkan oleh pelaburan syarikat Singapura atau syarikat multinasional berpangkalan di Singapura.

“Selain pekerjaan dibentuk, bandar baru yang penting juga dibangunkan dalam kawasan tak ramai penduduk di negeri itu,” kata Hutchinson.

Katanya, sejarah antara Singapura dan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam membentuk gambaran lebih enak dalam kalangan orang Johor, sebaliknya ramai penduduk tempatan melihat pelaburan China dengan perasaan campur baur tidak berminat dan curiga.

“Berbeza, banyak pelaburan PRC (China) dalam hartanah mewah.

“Persepsi yang wujud adalah ia menaikkan harga rumah dan ramai pembeli bukan orang tempatan,” kata Hutchinson lagi.

Pelaburan Singapura di negeri itu juga dilihat lebih relevan kepada penduduk negeri, dengan sembilan daripada 10 responden ditemui mengatakan mereka mahu keretapi laju dibina di antara Singapura dan Kuala Lumpur, sementara 81% lagi mahukan laluan lebuh raya ketiga dibina di antara dua negara ini.

Singapura dan Johor buat masa kini dihubungkan oleh dua laluan di Woodlands dan Tuas.

88% lagi berpandangan Johor dan Singapura patut dihubungkan dengan perkhidmatan MRT.

Selain mempengaruhi kenaikkan harga hartanah, wujud juga kebimbangan yang projek pelaburan China tidak menawarkan peluang pekerjaan mencukupi, kerana tiada komitmen jelas berkaitan peratusan pekerjaan yang perlu diisi orang tempatan, kata Hutchinson.

Menjawab kritikan yang pembangunan Forest City tidak mendatangkan manfaat kepada penduduk tempatan, CGPV tahun lepas berkata 40% modalnya digunakan untuk membayar perkhidmatan syarikat tempatan.

Ia membelanjakan RM4.7 bilion untuk perkhidmatan perundingan dalam negara, firma guaman dan reka bentuk serta bahan binaan, kata syarikat itu.

Walaupun begitu, persepsi umum penduduk tempatan terhadap pembangunan dari China masih tidak berapa baik berbanding apa sahaja perkara berkaitan Singapura.

Goh Wee Keat, 26, berkata lonjakan harga rumah di pusat bandar Johor Bahru, tempatnya bekerja, bermakna dia hanya mampu untuk membeli rumah flat.

“Kalau ada rumah bertanah berhampiran bandar pun terlalu sedikit,” kata Goh.

Tetapi walaupun dia tidak bercadang berpindah keluar Johor Bahru untuk bekerja, dia bersedia bekerja di Singapura jika ada jaringan MRT menghubungkan Johor dan republik itu.

“Ketika ini, kecuali saya tinggal di Singapura, terlalu leceh untuk habiskan dua jam sehari pergi kerja di sana tetapi tinggal di Skudai,” katanya. – 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen