Kes bunuh George Floyd, bekas polis dihukum penjara 


Bekas anggota polis yang terlibat dalam kematian George Floyd. – Gambar AFP, 28 Julai, 2022.

DUA bekas pegawai polis Minneapolis dijatuhi hukuman penjara pada Rabu kerana peranan mereka dalam pembunuhan George Floyd pada Mei 2020, seorang lelaki kulit hitam yang kematiannya mencetuskan bantahan terhadap ketidakadilan kaum di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Hakim Daerah AS Paul Magnuson menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada J. Alexander Kueng, 28, dan Tou Thao, 36 tahun, berhubung pendakwaan persekutuan.

Kueng dan Thao disabitkan pada Februari kerana melanggar hak sivil Floyd, menunjukkan “tidak ambil peduli dengan sengaja” terhadap keperluan perubatannya dan gagal campur tangan untuk menghentikan penggunaan “kekerasan tidak munasabah” oleh seorang lagi pegawai, Derek Chauvin.

Kueng, Thao dan Chauvin adalah antara empat pegawai polis yang terlibat ketika penahanan Floyd yang didakwa menggunakan wang palsu AS$20 untuk membeli sebungkus rokok.

Chauvin, seorang veteran tentera selama 19 tahun, dilihat dalam rakaman video menekan lututnya di leher Floyd yang digari selama hampir 10 minit sehingga pengsan dan meninggal dunia.

Beliau didapati bersalah membunuh dan sedang menjalani hukuman penjara lebih 20 tahun.

Pegawai keempat, Thomas Lane, juga disabitkan pada Februari kerana melanggar hak sivil Floyd dan dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun.

Peguam Lane meminta hukuman lebih ringan dengan alasan beliau mencadangkan mengiringkan Floyd dan cuba memulihkannya.

“Keempat-empat pegawai yang terlibat dalam kematian tragis George Floyd kinidisabitkan di mahkamah persekutuan, dijatuhi hukuman penjara dan dipertanggungjawabkan atas jenayah mereka,” kata Penolong Peguam Negara Kristen Clarke dalam satu kenyataan.

“Pendakwaan persekutuan ke atas semua pegawai yang dikaitkan dengan kematian George Floyd perlu memberi mesej yang jelas dan kuat bahawa Jabatan Kehakiman tidak akan pernah bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa yang menyalahi undang-undang atau penganiayaan terhadap rakyat Amerika oleh sesiapa dalam penguatkuasaan undang-undang,” kata Clarke.

Kueng dan Lane membantu menahan Floyd manakala Thao menghalau orang ramai yang merayu kepada pegawai agar melepaskan Floyd ketika beliau berbaring di atas tanah sambil mengadu tidak boleh bernafas.

Lane ketika itu masih baharu bertugas apabila beliau dan rakan sekerjanya Kueng menahan Floyd selepas seorang pekedai menuduh menggunakan duit palsu di kedainya.

Ketika mereka bergelut untuk memasukkan Floyd ke dalam kenderaan mereka, pasangan itu disertai oleh dua pegawai berpengalaman, Chauvin dan Thao.

Lane mengaku bersalah pada Mei bagi pertuduhan negeri yang berasing kerana membantu dan bersubahat dengan pembunuhan beramai-ramai tahap kedua.

Kueng dan Thao akan dibicarakan atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai pada hujung Oktober. – AFP, 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen