Tiada bukti kukuh punca dos penggalak ke-2 Covid-19 tiada sambutan, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Walaupun keberkesanan dos penggalak kedua mungkin tidak begitu ketara berbanding dos pertama, golongan berusia dan berpenyakit dinasihatkan mengambilnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2022.

TIADA bukti kuat yang menyokong keperluan untuk suntikan dos penggalak kedua, menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat, kata pakar kesihatan.

Mereka berkata ia juga mungkin menjadi punca mengapa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berusaha keras untuk menggalakkan orang ramai mengambil suntikan, sebaliknya mengehadkannya kepada kumpulan terpilih.

Walaupun keberkesanannya mungkin tidak begitu ketara berbanding dos penggalak pertama, pakar kesihatan berkata golongan berusia dan berpenyakit, perlu mengambil suntikan kedua.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata adalah lebih baik bagi warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi mengambil dos penggalak kedua.

“Dari segi keperluan penggalak kedua, terdapat bukti keberkesanannya, tetapi ia tidak sekuat vaksin dan dos penggalak pertama,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

“Bagi penggalak kedua, adalah lebih baik mengambilnya jika anda berumur 60 tahun ke atas atau menghidap penyakit.”

Awal bulan ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa mereka yang berumur lebih 60 tahun dan yang mempunyai masalah kesihatan serius mengambil suntikan penggalak kedua memandangkan sub-varian Omicron BA.5 yang tersebar dalam komuniti.

Beliau juga mengumumkan di Parlimen bahawa Putrajaya kini membenarkan suntikan penggalak kedua untuk mereka yang berumur 50 hingga 59 tahun tanpa sebarang komorbiditi.

Beliau turut menggalakkan 31.1% daripada populasi dewasa yang belum menerima suntikan penggalak pertama untuk mendapatkannya.

Sehingga kini, 99.2% daripada populasi dewasa menerima satu dos vaksin manakala 98% mendapat vaksin lengkap.

Bagi dos penggalak pertama, 68.8% menerima suntikan mereka manakala hanya 1.3% daripada populasi dewasa menerima dos penggalak kedua. Daripada jumlah ini, 3.8% membabitkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Kajian klinikal di Israel, antara negara pertama yang memberi dos keempat, menunjukkan vaksin memulihkan antibodi ke tahap yang dipantau selepas dos ketiga tetapi hanya memberikan rangsangan sederhana dalam perlindungan terhadap jangkitan.

Di Amerika Syarikat, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan dos keempat untuk golongan berumur di atas 50 tahun dan yang lemah imun.

Walaupun BA.5 dikatakan tidak berkesan terhadap vaksin, Lee berkata vaksin membuktikan dapat mengurangkan penyakit teruk dan kemasukan ke hospital.

“Penggalak kedua membantu. Pada prinsipnya, saya masih akan menggalakkannya, tetapi ia tidak wajib,” kata Lee.

Suntikan penggalak pertama lebih penting

Pakar kesihatan awam Dr Moy Foong Ming berkata ketika kerajaan menggalakkan suntikan penggalak kedua, ia perlu mengutamakan mereka yang terlepas dos penggalak pertama.

“Walaupun menggalakkan dos penggalak kedua, mereka yang tidak mendapatkan penggalak pertama perlu diutamakan,” kata Moy.

“Berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British, perlindungan terhadap kesan yang teruk untuk dua dos ialah 52%, berbanding tiga dos 77-80% dan empat dos 78-86%.

“Ini mengukuhkan fakta bahawa lebih penting mendapatkan dos ketiga.”

Sesetengah pakar juga mencadangkan kita perlu mempertimbangkan untuk mempunyai tiga dos sebagai vaksin lengkap dan bukannya dua, kata Moy.

Sementara itu, pakar epidemiologi Dr Malina Othman berkata perlu ada lebih kesedaran dalam kalangan orang ramai untuk meyakinkan mereka mengambil vaksin itu.

“Saya fikir promosi agresif untuk penggalak kedua harus dilakukan oleh agensi bertanggungjawab untuk memastikan mereka dalam kumpulan umur yang disasarkan dicegah daripada jangkitan teruk,” kata Malina.

Sementara itu, Moy menggesa agar program jangkauan dalam masyarakat diadakan.

“Kerajaan boleh mengadakan program jangkauan untuk warga emas dalam komuniti, pusat jagaan orang tua.” – 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen